Isnin, 19 Februari 2024 | 10:44am
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail

KDN semak permohonan FBI senaraikan 3 pemimpin NGO Islam dalam TSC

PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan menyemak fakta berhubung tindakan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) menyenaraikan tiga pemimpin badan bukan kerajaan (NGO) Islam negara ini dalam Pusat Pemeriksaan Pengganas (TSC).

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata beliau sudah menghubungi Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berhubung perkara itu bagi mendapatkan gambaran yang lebih tepat.

"Saya pun baru mengetahui perkara itu dua hari lalu dan saya sudah menghubungi Ketua Polis Negara untuk diberikan gambaran yang lebih tepat mengenai perkara berkenaan.

"Apa yang kita tahu ialah FBI membuat request (permohonan) berkaitan perkara itu jadi kita kena semak dahulu fakta yang tepat, saya tak bersedia untuk memberi fakta tangkap muat atau samar-samar," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan majlis perasmian pembukaan Pejabat Pasport Shaftbury di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan tiga pemimpin daripada NGO Islam berasingan dari negara ini yang aktif dalam menguruskan bantuan ke Asia Barat disenaraikan dalam TSC oleh FBI.

Susulan itu, Kementerian Luar mengarahkan ketiga-tiga individu berkenaan tidak dibabitkan dalam Ops Ihsan yang menguruskan penghantaran bantuan kemanusiaan rakyat Malaysia kepada rakyat Palestin di Gaza.

Pengerusi Sekretariat Ops Ihsan, Jismi Johari turut mengesahkan kesahihan surat pemakluman berkenaan yang diterimanya daripada Kementerian Luar bahagian Asia Barat.

Menurut beliau, surat berkenaan adalah pemakluman secara rasmi daripada Kementerian Luar namun tidak menyangka dokumen berkenaan dibocorkan dan ditularkan di media sosial.

Untuk rekod, Ops Ihsan diilhamkan bekas Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, sebagai satu usaha kerjasama antara Kementerian Luar dan NGO bagi menggerakkan sokongan dan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin.

Ops Ihsan diselaraskan Kementerian Luar, diketuai Malaysian Humanitarian Aid and Relief (MAHAR) bersama lebih 50 NGO lain, termasuk Global Peace Mission (GPM) Malaysia, Red A Humanitarian Development Global, Mercy Malaysia, Pertubuhan Ihsan Johor dan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM).

Ditanya mengenai permohonan pemimpin politik pembangkang Bangladesh, MA Quayum, supaya KDN mengesahkan semula statusnya dalam program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H), Saifuddin berkata, mana-mana individu yang mahu memohon atau memperbaharui status terbabit perlu memiliki pasport yang sah.

"Kalau pasportnya tak sah laku atas apa sebab sekali pun, ia akan memberi kesan kepada permohonan MM2H atau status dia sebagai pemegang MM2H, itu dari segi undang-undangnya dan dalam kes ini, kalau pemegang itu peserta MM2H waktu dia memohon dan pasportnya sah laku, tak ada masalah

"Tetapi selama dia memegang status MM2H dan kemudian berlaku pembatalan pasport, itu akan memberi kesan kepada status dia sebagai pemegang MM2H," katanya.

Berita Harian X