Ahad, 18 Februari 2024 | 9:21pm
Razali (baju batik) bermesra dengan pengusaha bot pada majlis penutup program libat urus Lembaga Sumber Air Terengganu (LAUT) di Kuala Terengganu. - NSTP/Baharom Bakar
Razali (baju batik) bermesra dengan pengusaha bot pada majlis penutup program libat urus Lembaga Sumber Air Terengganu (LAUT) di Kuala Terengganu. - NSTP/Baharom Bakar

Enam MP BERSATU terlepas dipecat kalau...

KUALA TERENGGANU: Enam Ahli Parlimen Parti BERSATU yang berpaling tadah, akan terselamat daripada dipecat jika menarik balik sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Razali Idris, berkata mereka juga tidak perlu mengosongkan kerusi jika mengisytiharkan secara rasmi menarik balik sokongan kepada Anwar sebelum Perhimpunan Agung Khas parti, 2 Mac ini.

Bagaimanapun, katanya, enam ahli Parlimen itu mungkin hanya dikenakan tindakan tatatertib kerana melanggar peraturan parti.

"Peluang buat mereka yang mengisytiharkan menyokong Anwar masih terbuka jika umum tarik balik sokongan, keahlian dan kedudukan sebagai ahli Parlimen selamat.

"Kita difahamkan, ada dalang dan individu tertentu cuba menghasut enam ahli Parlimen itu kekal menyokong Anwar dengan memberi alasan pindaan fasal 10 perlembagaan parti tidak akan memberi kesan kepada mereka," katanya.

Terdahulu, Razali yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, merasmikan majlis penutup program libat urus Lembaga Sumber Air Terengganu (LAUT) serta pengusaha bot di sini, hari ini.

Hadir sama Pengarah LAUT negeri, Safura Mad Juhari.

Enam ahli Parlimen BERSATU yang menyatakan sokongan kepada Anwar ialah Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Zulkafperi Hanapi; Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang); Zahari Kechik (Jeli); Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang); Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman.

Enam Ahli Parlimen BERSATU, dari kiri Zahari Kechik, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid, Datuk Zulkafperi Hanapi, Mohd Azizi Abu Naim, Datuk Suhaili Abdul Rahman dan Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal
Enam Ahli Parlimen BERSATU, dari kiri Zahari Kechik, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid, Datuk Zulkafperi Hanapi, Mohd Azizi Abu Naim, Datuk Suhaili Abdul Rahman dan Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal

Razali yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) BERSATU berkata, enam ahli Parlimen masih berpeluang mengubah pendirian tetapi pintu untuk membuat pengisytiharan menarik balik sokongan kepada Anwar tertutup selepas pindaan fasal 10 diluluskan pada Perhimpunan Agung Khas parti bulan depan.

Razali yang juga Ketua Badan Pimpinan BERSATU negeri, bagaimanapun enggan mendedahkan nama individu yang menghasut enam ahli Parlimen supaya terus kekal menyokong Anwar.

"Individu yang menghasut enam Ahli Parlimen itu untuk kekal menyokong Anwar adalah pemimpin utama parti kerajaan Pakatan Harapan (PH).

"Beliau mendakwa pindaan fasal 10 akan dilakukan parti tidak boleh mengaitkan kesalahan kepada enam Ahli Parlimen berkenaan," katanya.

Berita Harian X