Ahad, 18 Februari 2024 | 7:07pm
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan, mencuba simulasi memandu jentera berat ketika melawat Akademi Binaan Malaysia (ABM) Wilayah Utara di Sintok, hari ini. - FOTO BERNAMA
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan, mencuba simulasi memandu jentera berat ketika melawat Akademi Binaan Malaysia (ABM) Wilayah Utara di Sintok, hari ini. - FOTO BERNAMA

ABM cadang kerjasama dengan UUM sediakan modul latihan keusahawan untuk pelatih

SINTOK: Akademi Binaan Malaysia (ABM) bercadang menjalin kerjasama dengan Universiti Utara Malaysia (UUM) bagi menyediakan modul latihan keusahawanan untuk ditawarkan kepada pelatih akademi itu di cawangannya di sini.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata langkah itu bertujuan memastikan pelatih bukan sahaja memiliki kemahiran dalam bidang teknikal atau sektor pembinaan, tetapi juga ilmu keusahawanan yang akan membolehkan mereka menjalankan perniagaan selepas tamat latihan.

"Saya mengadakan pertemuan dengan Naib Canselor UUM (Profesor Dr Mohd Foad Sakdan) dan mencadangkan dibuat kajian segera bagaimana hubungan kita (ABM Wilayah Utara dengan UUM) ditingkatkan dengan memberi input modul keusahawanan kepada pelatih di ABM di sini.

"Apabila keluar dari sini, mereka bukan hanya bekerja makan gaji tetapi boleh membuka syarikat untuk berniaga," katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke ABM Wilayah Utara, hari ini.

Turut hadir, Ketua Eksekutif Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), Datuk Mohd Zaid Zakaria dan Ketua Pegawai Eksekutif ABM Wilayah Utara, Mohd Nazri Zakaria.

Ahmad berkata, pihaknya berharap usaha itu bukan sahaja dapat dilaksanakan di ABM Wilayah Utara tetapi juga di lima lagi cawangan di seluruh negara yang boleh menjalin kerjasama dengan institusi pengajian tinggi awam berhampiran.

"Input keusahawan itu boleh diterapkan dalam modul latihan dengan memanggil bekas pelatih yang membuka syarikat untuk berkongsi pengalaman dan pengetahuan kepada pelatih sedia ada," katanya.

Beliau berkata, lebih 80,000 pekerja mahir dilatih melalui program latihan serta penilaian ABM dan CIDB Technologies dengan peruntukan RM232 juta bagi 2018 hingga 2023.

Ahmad turut menasihati orang ramai mendapatkan khidmat syarikat kontraktor berlesen dengan CIDB bagi pembinaan atau ubah suai rumah.

Beliau berkata, ia bagi mengelak mereka menjadi mangsa penipuan atau risiko projek tidak siap, sekali gus mengalami kerugian. – BERNAMA

Berita Harian X