Ahad, 18 Februari 2024 | 6:20pm
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Naim Mokhtar. - Foto fail NSTP
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Naim Mokhtar. - Foto fail NSTP

Tak bentang RUU355 bukan punca enakmen syariah Kelantan batal

KUALA LUMPUR: Dakwaan yang menyatakan kegagalan kerajaan membentangkan Rang Undang-undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU 355) menyebabkan Mahkamah Persekutuan membatalkan 16 seksyen dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019, adalah tidak tepat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata keputusan Mahkamah Persekutuan itu bukan menjurus kepada kesalahan dalam kes jenayah syariah sebaliknya berkaitan bidang kuasa badan perundangan Negeri Kelantan dengan Parlimen.

Isu pembatalan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 itu bukan berkaitan hukuman yang dikenakan tetapi berkaitan kesalahan yang diperuntukkan dalam undang-undang berkenaan.

"Dakwaan ini tidak tepat, kerana jika kita fahami RUU355 membabitkan isu dan keinginan dan hasrat menambah hukuman yang diberikan kepada mahkamah syariah.

"Dengan lain perkataan, semua hakim Mahkamah Syariah apabila mereka hendak menghukum kesalahan di Enakmen Kanun Jenayah Syariah di negeri-negeri termasuk Kelantan, mereka tidak boleh menghukum tertuduh atau pesalah dengan hukuman yang melebihi daripada hukuman tiga tahun penjara, denda RM5,000 dan enam kali sebatan.

"Kenapa, ini kerana Akta 355 mengehadkan negeri-negeri untuk menjatuhkan hukuman jenayah syariah yang melebihi daripada apa yang disebut sebagai '356' iaitu tiga tahun penjara, RM5,000 denda dan enam kali sebatan.

"Sebagai contoh, dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 berkaitan kesalahan liwat di bawah Seksyen 14 yang diputuskan Mahkamah Persekutuan sebagai terbatal disebabkan melangkaui Perlembagaan.

"Seksyen 14 itu menyatakan hukuman maksimum bagi kesalahan itu adalah tiga tahun penjara, RM5,000 denda dan enam kali sebatan," katanya dalam satu hantaran di media sosialnya, malam tadi.

Hantaran itu bagi menjawab dakwaan kegagalan RUU 355 dibentangkan kerajaan menyebabkan Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan 16 seksyen dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019, adalah terbatal dan tidak sah.

Panel sembilan hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, membuat keputusan majoriti 8-1, membenarkan petisyen dikemukakan seorang peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman.

Antara peruntukan kesalahan dalam enakmen itu yang terbatal adalah Seksyen 11 iaitu memusnahkan atau mencemarkan tempat ibadat, kesalahan liwat (Seksyen 14) dan persetubuhan dengan mayat (Sesyen 16).

Mohd Na'im menjelaskan alasan Mahkamah Persekutuan badan perundangan negeri Kelantan tidak boleh mengadakan Seksyen 14 kerana kuasa menggubal kesalahan bagi jenayah liwat adalah di bawah kuasa Parlimen.

Parlimen sudah pun membuat undang-undang berkaitan kesalahan liwat itu dalam Akta Kesalahan Jenayah atau Kanun Keseksaan.

"Jadi nampak jenis kesalahan yang kita bicarakan di sini bukannya hukuman. Asas dan alasan Mahkamah Persekutuan membatalkan 16 kesalahan dalam enakmen itu tidak ada kena mengena dengan RUU atau Akta 355.

"Akta 355 hanya mengehadkan hukuman kesalahan liwat iaitu tiga tahun penjara, RM5,000 denda dan enam kali sebatan - hanya memperuntukkan mengenai hukuman kesalahan jenayah dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah.

"Keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Nik Elin ini pula hanya membabitkan kesalahan liwat (jenayah) bukan hukuman bagi liwat. Jadi apa yang boleh kita simpulkan, kes Nik Elin ini hanya menjurus kepada kesalahan," katanya.

Berita Harian X