Ahad, 18 Februari 2024 | 6:06pm
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (dua, kiri) berucap pada Majlis Makan Tengah Hari Timbalan Perdana Menteri Bersama Pelajar-Pelajar Malaysia di Jepun di Tokyo, hari ini. - Foto BERNAMA
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (dua, kiri) berucap pada Majlis Makan Tengah Hari Timbalan Perdana Menteri Bersama Pelajar-Pelajar Malaysia di Jepun di Tokyo, hari ini. - Foto BERNAMA

Lebih ramai pelajar akan ke Jepun dalami TVET - TPM

TOKYO: Kerajaan berhasrat menghantar lebih ramai pelajar Malaysia mengikuti pengajian di luar negara dalam bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET), selaras dengan hasrat memperkasa sektor TVET tempatan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata langkah itu adalah transformasi bakal dilakukan kerajaan dalam bidang TVET, selain bertujuan mengubah persepsi masyarakat bahawa mereka yang mengikuti pengajian itu adalah kalangan pelajar tercicir dalam akademik.

"Walaupun TVET sudah bermula sebelum merdeka, usaha kerajaan sebelum ini tidak dilakukan secara berfokus.

"Kita mahu menukar persepsi ibu bapa dan masyarakat bahawa bidang ini sebenarnya menjanjikan pekerjaan dan kerjaya yang lebih baik," katanya pada majlis ramah mesra bersama kira-kira 70 pelajar Malaysia di Jepun, hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Majlis TVET Negara, berkata kerajaan turut mempertimbang menambah elaun sara hidup pelajar yang akan melanjutkan pengajian dalam bidang itu di luar negara termasuk Jepun.

Bagi memperkasa sektor TVET negara, Ahmad Zahid yang kini dalam rangka lawatan kerja tujuh hari ke Jepun bermula semalam, berkata kerajaan berhasrat mentransformasi Universiti Kuala Lumpur (UniKL) sebagai universiti TVET utama di Malaysia.

Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu berkata, hala tuju TVET baharu akan diumum pada 2 Jun depan sempena Hari TVET Negara.

Turut mengiringi Ahmad Zahid dalam lawatan kerja ke Jepun ialah Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir dan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Asyraf Wajdi Dusuki. – BERNAMA

Berita Harian X