Ahad, 18 Februari 2024 | 4:19pm
Pindaan perlembagaan BERSATU seiring dengan keadaan politik semasa. - FAIL NSTP
Pindaan perlembagaan BERSATU seiring dengan keadaan politik semasa. - FAIL NSTP

Pindaan perlembagaan BERSATU sesuai dengan perkembangan semasa - Pakar

KUALA LUMPUR: Pindaan perlembagaan BERSATU dilihat seiring dengan peraturan antilompat parti dalam Akta Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 (Akta A1663) yang melarang Ahli Dewan Rakyat bertukar parti.

Pakar Perlembagaan, Prof Madya Dr Muhammad Fathi Yusof, berkata pindaan itu sesuai dengan perkembangan semasa berkaitan kesetiaan wakil rakyat BERSATU.

Katanya, BERSATU perlu menyedari mandat diberi rakyat perlu benar-benar diterjemahkan kerana rakyat memberi undi untuk memenangkan parti dan bukannya calon semata-mata.

"Pindaan sama sudah dilaksanakan DAP dan AMANAH, malah UMNO memperkenalkan dokumen dalam bentuk akujanji dan perjanjian yang ditandatangani sebelum pilihan raya.

"Langkah BERSATU meminda perlembagaan parti ini sama dengan parti lain dalam memastikan kedudukan dan sokongan terhadap parti mereka teguh di Parlimen," katanya kepada BH, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang menyatakan Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) parti itu meluluskan draf pindaan perlembagaan berkaitan pengosongan kerusi Parlimen bagi membolehkan pilihan raya kecil diadakan sekiranya ahli memberi sokongan kepada pihak lawan.

Muhammad Fathi yang juga Prof Madya Undang-Undang, Pusat Polisi Perdana, Fakulti Teknologi dan Informatik Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), berkata parti berhak memberi kebebasan atau menetapkan sekatan kepada ahli Parlimen mereka.

Berdasarkan Perkara 49 (A) Perlembagaan Persekutuan, seseorang Ahli Dewan Rakyat berhenti menjadi ahli Parlimen apabila:

a) selepas dipilih ke Dewan Rakyat sebagai anggota parti politik, beliau melepaskan keanggotaan sebagai atau tidak lagi menjadi anggota parti politik ; atau

b) setelah dipilih ke Dewan Rakyat bukan sebagai anggota sebuah parti politik (iaitu calon Bebas), menyertai parti politik sebagai ahli.

Beliau berkata, ketika digubal, ada pandangan pemimpin BERSATU tidak mahu memasukkan alasan hilang kelayakan sebagai Ahli Dewan Rakyat melalui pemecatan parti kerana berpandangan ia melalui proses keputusan parti dengan pelbagai alasan yang lebih luas.

"Pindaan yang bakal dibawa ini menjurus kepada tindakan wakil rakyat yang bertentangan prinsip parti dalam memberikan sokongan.

"Pindaan ini hampir sama dengan kedudukan wakil rakyat mengisytihar keluar parti. Apabila wakil rakyat mengambil keputusan berbeza dengan parti dan dilihat tidak ada tindakan diambil, ia menimbulkan persoalan terhadap keberkesanan peraturan antilompat parti.

"Ini lebih kepada langkah memastikan peraturan antilompat parti memberi impak dalam menentukan sokongan ahli Parlimen kepada parti masing-masing," katanya.

Fasal 1 Perkara 49A memperuntukkan, seseorang ahli Dewan Rakyat perlu mengosongkan kerusi jika;

a) setelah dipilih ke Dewan Rakyat sebagai anggota parti politik, dia melepaskan keanggotaan sebagai atau tidak lagi menjadi anggota parti politik itu; atau

b) setelah dipilih ke Dewan Rakyat bukan sebagai anggota sebuah parti politik (iaitu, calon bebas), dia menyertai parti politik sebagai ahli.

Berita Harian X