Ahad, 18 Februari 2024 | 3:57pm
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad meletakkan papan tanda 'Dilarang Merokok' pada premis makanan ketika Tinjauan Mesra Premis Bersih Bebas Asap (BeBas) di Jalan Alor. - Foto BERNAMA
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad meletakkan papan tanda 'Dilarang Merokok' pada premis makanan ketika Tinjauan Mesra Premis Bersih Bebas Asap (BeBas) di Jalan Alor. - Foto BERNAMA

Tolak wujud kawasan khas merokok berhampiran premis makanan - PPPKAM

KUALA LUMPUR: Syor supaya dipertimbang untuk menyediakan kawasan khas merokok, khususnya bagi premis makanan di kawasan sempit ditolak pakar perubatan dan kumpulan anti merokok.

Ini kerana, rata-rata sepakat tidak bersetuju sekiranya kerajaan 'memberi muka' kepada golongan perokok untuk melampiaskan 'hak' mereka, lagi-lagi di ruang awam.

Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia (PPPKAM), Prof Dr Jamalludin Ab Rahman, berkata jika kerajaan mahu mewujudkan ruang khas kepada perokok, ia sepatutnya dibina berasingan dari kawasan premis dan terletak jauh dari orang ramai.

"Premis makanan yang jelas tidak mampu menyediakan ruang jarak tiga meter kerana sempit dan sesak dengan orang ramai tidak seharusnya membenarkan langsung sesiapa merokok. Peraturan tiga meter patut kekal.

"Pembinaan ruang merokok khas bukanlah langkah yang progresif, sekiranya perlu dibina ruang khas umum itu ia harus tertutup dan terletak jauh dari orang ramai serta tidak spesifik kepada kedai makan terbabit.

"Keutamaan harus diberikan kepada risiko dedahan asap rokok kepada orang ramai, terutama wanita hamil dan kanak-kanak.

"Oleh yang demikian, aktiviti pencegahan yang harus diutamakan terutama dengan mempromosikan gaya hidup sihat. Bahkan, aktiviti penguatkuasaan harus dipertingkat antaranya menerusi kehadiran pegawai penguatkuasa yang harus dirasai oleh orang ramai," katanya kepada BH hari ini.

Timbalan Koordinator Kumpulan Penyelidik Ketagihan Nikotin (NARCC) Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Nur Amani Ahmad Tajuddin, pula berpandangan usaha terbaik yang boleh diambil Kementerian Kesihatan (KKM) adalah dengan tidak membenarkan langsung aktiviti merokok termasuk menghisap vape di semua ruang awam.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan aktiviti penguatkuasaan perlu diperketatkan dengan mengikut contoh negara luar seperti Hong Kong, yang melantik dan melatih sukarelawan untuk bersama-sama menguatkuasakan peraturan terhadap perokok.

"Walaupun kita ada larangan merokok di premis makanan sama ada di luar atau dalam (premis), mereka masih terdedah secara pasif kepada asap rokok atau asap vape.

"(Dengan menyediakan ruang khas merokok) Namun, mereka mesti mempunyai sifat tanggungjawab yang tinggi, iaitu tidak melakukan aktiviti selain di kawasan khas yang ditetapkan. Ini memerlukan peringatan kerap dan kempen besar-besaran.

"Jika undang-undang untuk merokok dan menghisap vape dalam kawasan khas ini tidak dipatuhi, platform aduan perlu ditambah baik dan respon balas kepada pengadu mesti diberikan," katanya.

Semalam, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata pihaknya akan mempertimbang langkah menyediakan kawasan khas merokok khususnya bagi premis makanan di kawasan sempit.

Ia selepas mendapati, premis di kawasan sempit agak sukar bagi mematuhi jarak tiga meter untuk merokok yang dikuatkuasakan ketika ini.

Dr Dzulkefly berkata, perkara itu bukanlah satu langkah mengundur ke belakang sebaliknya bagi memastikan larangan merokok pada jarak tiga meter dari premis makanan dipatuhi.

"KKM mengambil pertimbangan hal ini, kita sedia maklum kalau tiga meter jarak (merokok) dari premis makanan, sudah hampir dengan premis lain.

"Kami pasti akan mempertimbang keperluan mengadakan tempat tertentu seperti negara maju lain iaitu Singapura, Jepun dan Hong Kong di mana mereka punya tempat yang diizinkan untuk merokok," katanya kepada pemberita pada Sesi Perjumpaan Meja Bulat sempena Program Tinjauan Mesra Premis Bersih, Bebas Asap (BeBAs).

Berita Harian X