Ahad, 18 Februari 2024 | 12:32pm

Malaysia masih pertimbang cadangan Singapura beli dua bidang tanah miliknya di Woodlands

SINGAPURA: Cadangan Singapura untuk membeli dua bidang tanah milik Malaysia untuk tujuan pembangunan semula Pintu Masuk Woodlands (WCP) masih dalam perbincangan oleh pihak berkuasa Malaysia.

Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura, Datuk Dr Azfar Mohamad Mustafar, berkata adalah logik bagi Singapura untuk membeli tanah itu, tetapi persoalannya adalah sama ada Malaysia ingin menjual atau menukarnya dengan tanah lain, yang kedua-dua negara pernah lakukan sebelum ini, masih belum diputuskan.

"Singapura menyatakan hasratnya kepada Malaysia (untuk pembelian tanah itu). Pihak berkuasa yang berkaitan di Malaysia sedang berunding dan mengkajinya. Sehingga ini kami belum menerima sebarang maklum balas daripada pihak berkuasa yang berkaitan," kata Azfar yang ditemui oleh wartawan Malaysia semalam.

Menurut Azfar, semua tanah kerajaan di luar negara didaftarkan di bawah Pesuruhjaya Tanah Persekutuan.

Beliau berkata, Singapura menyatakan hasratnya tahun lalu untuk membeli tanah milik kekal yang meliputi kira-kira 0.9 hektar secara keseluruhan.

Katanya, beliau sudah mencadangkan keadah pertukaran tanah dengan tanah terbabit, tetapi kata putus akan perkara itu akan dibuat kerajaan Persekutuan.

Sebelum ini, pada September 2010, Singapura dan Malaysia menandatangani perjanjian pertukaran tanah untuk menyelesaikan perolehan yang membabitkan tanah milik Keretapi Tanah Melayu di republik itu yang membabitan tiga bidang tanah masing-masing di Tanjong Pagar, Kranji, dan Woodlands, serta tiga lagi di Bukit Timah.

Sebagai ganti, Singapura menawarkan pertukaran dengan empat kawasan tanah di Marina South dan dua kawasan di Ophir-Rochor.

Pihak Berkuasa Imigresen dan Kastam Singapura (ICA) baru-baru ini mengumumkan mereka akan membangunkan semula WCP untuk penyelesaian yang lebih mampan dan jangka panjang bagi menangani kesesakan kronik di lintasan darat yang menghubungkan republik itu dengan Malaysia.

WCP yang dibangunkan semula akan beroperasi secara berperingkat bermula tahun 2028.

ICA sudah menjalankan kajian kelayakan dan teknikal yang meluas untuk menentukan jumlah tanah yang optimal yang diperlukan untuk memenuhi permintaan masa depan.

Tanah yang diperlukan untuk pembangunan semula WCP hanya boleh diperoleh melalui pemerolehan tanah dan reklamasi tanah.

Apabila ditanya sama ada Malaysia masih memiliki tanah di Singapura, Azfar berkata: "Kami (kerajaan persekutuan) memiliki kawasan tanah di sekitar pulau ini. Salah satunya adalah sebidang tanah seluas satu ekar di Holland Village," kata Azfar sambil menambah bahawa ini tidak termasuk tanah di republik itu yang dimiliki oleh Johor. - BERNAMA

Berita Harian X