Sabtu, 17 Februari 2024 | 10:47pm

Jalan Alor jadi contoh 'Makanan Jalanan Kuala Lumpur'

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) akan melakukan pendekatan menyeluruh bersama pelbagai agensi dalam menjadikan premis makanan di sepanjang Jalan Alor, Bukit Bintang di ibu negara sebagai suri teladan 'Makanan Jalanan Kuala Lumpur'.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata ia membabitkan Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) serta Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (MOTAC), bagi menarik pelancong.

"Beberapa elemen penting turut diberi penekanan termasuk makanan bersih dan selamat bebas asap rokok, vape dan shisha.

"Persekitaran bersih, menarik, penggredan kebersihan premis dan pengiktirafan premis makanan yang bersih dan selamat (BeSS) turut ditekankan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Sesi Perjumpaan Meja Bulat Sempena Tinjauan Mesra Premis Bersih, Bebas Asap (BeBAs) Bersama Menteri Kesihatan di sini, hari ini.

Dr Dzulkefly berkata, perubahan budaya, peningkatan pengetahuan dan perubahan amalan peniaga, pengendali makanan serta pelanggan penting dalam menjayakan hasrat itu.

"Kerjasama badan bukan kerajaan (NGO) akan ditingkatkan bagi mewartakan dan mempromosikan Jalan Alor sebagai zon bebas merokok.

"Pekerja yang berminat berhenti merokok juga akan dirujuk ke perkhidmatan sedemikian," katanya.

Mengenai program tinjauan mesra Premis Bersih, Bebas Asap (BeBAs) yang julung kali diadakan oleh KKM, beliau berkata, ia bertujuan meningkatkan pemahaman dan pematuhan pengusaha premis makanan dan penjaja terhadap kepentingan kebersihan dan pematuhan larangan merokok di premis makanan.

Katanya, program berkenaan menitikberatkan konsep pemerkasaan masyarakat dalam memastikan peraturan kebersihan makanan dan larangan merokok di premis makanan sentiasa dipatuhi.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, beramah mesra bersama pengunjung ketika Tinjauan Mesra Premis Bersih Bebas Asap (BeBas) di Jalan Alor, ibu negara hari ini. - Foto BERNAMA
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, beramah mesra bersama pengunjung ketika Tinjauan Mesra Premis Bersih Bebas Asap (BeBas) di Jalan Alor, ibu negara hari ini. - Foto BERNAMA
Berita Harian X