Sabtu, 17 Februari 2024 | 9:42pm
Antara mangsa banjir yang ditempatkan di PPS selepas beberapa kawasan di Kuching, Bau, Samarahan dilanda bah sejak semalam. - Foto JPBN
Antara mangsa banjir yang ditempatkan di PPS selepas beberapa kawasan di Kuching, Bau, Samarahan dilanda bah sejak semalam. - Foto JPBN

Mangsa bah di Sarawak bertambah

KUCHING: Jumlah mangsa banjir di Sarawak semakin meningkat walaupun satu daripada empat pusat pemindahan sementara (PPS) ditutup, hari ini.

Sehingga 5 petang, seramai 418 mangsa daripada 107 keluarga ditempatkan di tiga PPS di Batu Kawa dan Matang, meningkat berbanding 402 mangsa daripada 106 keluarga, pagi tadi.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak dalam kenyataan memaklumkan, PPS Dewan Serbaguna Taman Malihah yang dibuka 6 petang semalam kini mencatat jumlah tertinggi mangsa, iaitu 184 daripada 49 keluarga.

PPS Dewan Masyarakat Stapok pula menempatkan seramai 174 mangsa daripada 45 keluarga, manakala PPS Dewan R Piang, Kampung Sinar Budi Baru, Batu Kawa kekal dengan 60 mangsa daripada 13 keluarga.

PPS Dewan Kampung Segong, Bau yang sebelum ini menempatkan sembilan mangsa daripada dua keluarga ditutup pada 9 pagi tadi.

Beberapa kawasan di sekitar Kuching, Bau, Serian dan Samarahan dilanda banjir akibat hujan lebat berterusan sejak awal pagi, semalam.

Berita Harian X