Sabtu, 17 Februari 2024 | 4:57pm
Anggota Biro Siasatan Kemalangan Udara mengangkat keluar enjin pesawat ringan model BK 160 Gabriel yang terhempas di Kampung Tok Muda di Kapar pada 13 Februari, dan dibawa ke sebuah hangar di Subang untuk siasatan. - Foto fail BERNAMA
Anggota Biro Siasatan Kemalangan Udara mengangkat keluar enjin pesawat ringan model BK 160 Gabriel yang terhempas di Kampung Tok Muda di Kapar pada 13 Februari, dan dibawa ke sebuah hangar di Subang untuk siasatan. - Foto fail BERNAMA

Larangan terbang, ...tunggu kenyataan BSKU, kata Anthony Loke

KUALA LUMPUR: Fakta berkaitan pesawat ringan Gabriel BK160TR yang terhempas di Kampung Tok Muda, Kapar, Klang Selasa lalu sehingga mengorbankan juruterbang dan pembantunya akan dikeluarkan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU).

Perkara itu dimaklumkan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, ketika diajukan soalan oleh pemberita mengenai percanggahan fakta berhubung status kelulusan penerbangan pesawat terbabit.

Ia selepas syarikat pengeluar pesawat itu, Blackshape memaklumkan pihaknya tidak memberikan kebenaran terbang untuk pesawat itu.

Gabriel BK160TR
Gabriel BK160TR

Namun berdasarkan kenyataan Kementerian Pengangkutan (MoT) mengesahkan pesawat Gabriel BK160TR itu mempunyai pensijilan kelayakan terbang yang sah di bawah Agensi Keselamatan Penerbangan Kesatuan Eropah (EASA).

"Siasatan akan dibuat oleh BSKU dan sebarang kenyataan berkait fakta juga akan dikeluarkan oleh BSKU," katanya selepas meninjau pengoperasian semula Stesen Transit Aliran Massa (LRT) Bandaraya di sini pagi tadi.

Pengeluar, Blackshape dakwa pesawat tak dibenar terbang

Memetik laporan NST semalam, Blackshape menjelaskan bahawa pesawat malang yang terbabit dalam nahas yang mengorbankan dua anak kapal, tidak dibenarkan melakukan penerbangan.

Arahan itu telah dikeluarkan Blackshape pada 25 Oktober 2023.

Menurut syarikat yang berpangkalan di Itali itu, pihaknya ada menghantar beberapa notis peringatan kepada pengedar pesawat mengenai perkara itu.

Sebuah pesawat ringan terhempas di kawasan berhampiran Sekolah Kebangsaan Tok Muda, Kapar, Selasa lalu. - Foto JBPM Selangor
Sebuah pesawat ringan terhempas di kawasan berhampiran Sekolah Kebangsaan Tok Muda, Kapar, Selasa lalu. - Foto JBPM Selangor

"Arahan mutlak larangan penerbangan ini berpunca daripada keadaan hampir mustahil untuk mengesahkan keadaan penggunaan dan penyelenggaraan pesawat," kata syarikat itu.

MoT dalam satu kenyataan semalam pula memaklumkan siasatan teknikal berdasarkan Annex 13 – Aircraft Accident and Incident Investigation, International Civil Aviation Organisation (ICAO Annex 13), telah dimulakan oleh pasukan BSKU bermula tarikh kejadian kemalangan udara tersebut.

Berdasarkan siasatan awal, MoT menjelaskan bahawa pesawat yang memiliki tanda pendaftaran I-POOC adalah milik Blackshape S.p.A, berpangkalan di Itali.

Sky Media Ltd yang merupakan syarikat Hong Kong pula bertindak sebagai pengedar pesawat bagi pihak Blackshape S.p.A untuk rantau Asia Tenggara.

Dalam insiden jam 1.45 tengah hari Selasa lalu, juruterbang Daniel Yee Hsiang Khoon, 30, dan pembantu juruterbang Roshaan Singh Raina, 43, maut dengan kedua-dua mangsa dipercayai terbenam bersama bahagian kokpit pesawat di kawasan ladang sawit.

Pesawat dikendalikan Air Adventure Flying Club itu berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang pada 1.28 tengah hari untuk penerbangan rekreasi.

Berita Harian X