Sabtu, 17 Februari 2024 | 3:58pm
Irmohizam terima anugerah ‘Professor of Practice Award’ daripada Dr Asmah semalam.
Irmohizam terima anugerah ‘Professor of Practice Award’ daripada Dr Asmah semalam.

Irmohizam terima anugerah 'Professor of Practice Award' UGM

KUALA LUMPUR: Pengarah Urusan Kumpulan World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL), Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim dianugerahkan 'Professor of Practice Award' (Pengurusan Strategik) oleh Universiti Geomatika Malaysia (UGM) sempena Majlis Konvokesyen UGM ke-16 2024, semalam.

Anugerah itu disampaikan Canselor UGM, Toh Puan Datuk Dr Asmah Abdul Rahman dalam konvokesyen itu yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Irmohizam berkata, beliau berbesar hati menerima anugerah 'Professor of Practice Award' yang membawa gelaran Profesor itu.

"Sebagai Pro-Canselor 1 UGM, pengiktirafan ini mencerminkan dedikasi saya dalam bidang akademik, dan saya akan berusaha untuk menyumbang kepada persekitaran pembelajaran yang bukan sahaja menyampaikan ilmu tetapi juga memupuk pemikiran kritis, kreatif, dan belas kasihan terhadap kemajuan warga UGM," katanya dalam kenyataan.

Anugerah itu adalah antara anugerah akademik tertinggi yang dikurniakan UGM kepada individu bagi mengiktiraf perkhidmatan berjasa mereka kepada institusi pengajian tinggi itu.

Penganugerahan ini juga turut mengiktiraf individu yang berjasa dan memberikan sumbangannya terhadap UGM.

Sumbangan Irmohizam dalam dunia korporat melangkaui peringkat nasional dan ini dibuktikan dengan peranan beliau dalam pelbagai organisasi antarabangsa yang disegani.

Beliau menjadi satu-satunya rakyat Malaysia pertama yang dilantik untuk menganggotai Lembaga Pengarah World Trade Centers Association (WTCA) yang beribu pejabat di New York, Amerika Syarikat.

Beliau juga aktif dalam menerajui industri Acara Perniagaan di Malaysia dan di peringkat global.

Komitmen Irmohizam terhadap pembelajaran berterusan telah menjadikan beliau teladan dan inspirasi kepada individu lain yang berusaha untuk mencapai kecemerlangan dalam bidang pilihan mereka dan menunjukkan kepentingan pembelajaran sepanjang hayat.

Pengiktirafan terbaharu ini menambah kepada senarai pencapaiannya yang mengagumkan dan mengukuhkan kedudukannya sebagai pemimpin dan penyumbang kepada kemajuan ilmu dalam dunia korporat dan akademik.

Berita Harian X