Sabtu, 17 Februari 2024 | 2:42pm
Foto hiasan
Foto hiasan

Syor pinda Pekeliling Perbendaharaan elak amalan rasuah - Pakar

KUALA LUMPUR: Kerajaan disaran meminda Pekeliling Perbendaharaan terutama berkaitan pemerolehan yang dilihat cenderung membuka ruang kepada amalan rasuah dalam kalangan penjawat awam.

Penganalisis rasuah dari Universiti Putra Malaysia, Noor Mohamad Shakil Hameed, mengesyorkan Kementerian Kewangan (MoF) memansuhkan kaedah pemerolehan secara rundingan terus seperti termaktub dalam PK2.4 pekeliling berkenaan.

Katanya, ia selari penegasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu pemerolehan kerajaan dibuat secara tender terbuka bagi mewujudkan ketelusan dalam penganugerahan kontrak.

"Pemerolehan kerajaan perlu beralih sepenuhnya kepada tender terbuka kerana ia akan meminimumkan risiko amalan rasuah, selain berupaya mengehadkan saingan kurang sihat dalam kalangan kontraktor.

"Pengecualian mungkin boleh diberi kepada sektor kritikal tertentu untuk melakukan pemerolehan secara rundingan terus, namun perlu berdasarkan keperluan mendesak selain senarai sedia ada perlu dikurangkan.

"Malah, kriteria dan syarat bagi pemerolehan secara rundingan terus perlu diperketat dan mengambil kira kesan kepada kemaslahatan rakyat serta negara," katanya kepada BH.

Beliau mengulas pendedahan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, mengenai peruntukan lapuk dalam beberapa undang-undang sedia ada dikenal pasti sebagai antara faktor yang membuka ruang kepada amalan rasuah, terutama dalam kalangan penjawat awam.

Berdasarkan PK2.4 Pekeliling Perbendaharaan, pemerolehan secara rundingan terus boleh dibuat berpandukan lima kriteria iaitu kesegeraan atas kepentingan awam, penyeragaman, satu punca bekalan atau perkhidmatan, keselamatan atau strategik serta kontrak dengan syarikat pembuat Bumiputera.

Noor Mohamad juga mencadangkan supaya kerajaan memperkasa fungsi dan peranan Suruhanjaya Persaingan (MyCC) bagi menoktahkan isu berkaitan syarikat monopoli mahupun kartel bagi pasaran negara ini.

Katanya, MyCC perlu menguatkuasakan undang-undang dengan lebih tegas dan menyeluruh bagi mengelak kemungkinan kejadian itu, sekali gus mewujudkan pasaran lebih berdaya saing serta meminimumkan risiko sebarang manipulasi.

"Kerajaan perlu berani memecahkan pasaran monopoli di negara ini bagi mewujudkan persaingan lebih sihat, sekali gus meminimumkan risiko amalan rasuah," katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pemeriksa Fraud Bertauliah Cawangan Malaysia, Datuk Seri Akhbar Satar, mengesyorkan penggubalan undang-undang pemunyaan benefisial bagi membolehkan penilaian wajar dibuat ke atas pemilik syarikat.

"Ia juga mampu mengelak pemilik syarikat memanipulasi pemilikan demi meraih keuntungan atau faedah daripadanya, selain berupaya mengehadkan mana-mana pihak disenaraihitamkan daripada menubuhkan entiti baharu.

"Penggubalan akta ini boleh menjadi instrumen untuk menghukum pihak yang menggunakan namanya atau proksi dia pada entiti baharu ditubuhkan, sedangkan syarikat miliknya terdahulu berdepan isu atau disenaraihitamkan," katanya.

Beliau berkata, terdapat keperluan menggubal undang-undang bagi membanteras amalan 'ali baba' susulan cubaan segelintir syarikat mengaut keuntungan mudah, termasuk menjual bahan subsidi kerajaan pada harga lebih tinggi.

Keadaan itu, katanya, menyebabkan syarikat terbabit tidak mengamalkan ketelusan dan integriti dalam perniagaan semakin berani melakukan penipuan kerana tidak terikat dengan undang-undang.

"Kita ketika ini tiada instrumen untuk menghukum pemilik yang menjual lesen atau hak perniagaan kepada pihak ketiga, sedangkan ia juga boleh dianggap sebagai jenayah.

"Malah, ada pemilik kini menyewakan lesen kepada bukan Bumiputra dan bukan warganegara yang semakin berleluasa.

"Ia bukan saja menjejaskan pendapatan negara, malah merencatkan hasrat kerajaan mencapai sasaran 30 peratus pembabitan usahawan Bumiputera, selain mungkin menggugat aspek kedaulatan," katanya.

Berita Harian X