Sabtu, 17 Februari 2024 | 1:23pm
Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun bertanya khabar seorang kanak-kanak yang selesai berkhatan ketika Program Community Policing Khatan Perdana Percuma Peringkat Negeri Kelantan di Sekolah Kebangsaan (SK) Paloh Pintu Geng. - Foto NSTP/Hazira Ahmad Zaidi
Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun bertanya khabar seorang kanak-kanak yang selesai berkhatan ketika Program Community Policing Khatan Perdana Percuma Peringkat Negeri Kelantan di Sekolah Kebangsaan (SK) Paloh Pintu Geng. - Foto NSTP/Hazira Ahmad Zaidi

'Anggap anak jiran anak sendiri, usaha bendung gejala sosial'

KOTA BHARU: Tanpa pemantauan berterusan ibu bapa, pengaruh gambar dan drama di media sosial antara faktor menyebabkan pemikiran kanak-kanak menjadi negatif.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun, berkata selain itu rancangan di televisyen dan rakan sebaya juga menyebabkan kanak-kanak terbabit dalam gejala sosial.

Sehubungan itu beliau berkata ibu bapa memainkan peranan penting dengan sentiasa mengawasi gerak-geri anak-anak bagi mengelakkan mereka terjebak dengan masalah sosial.

"Dalam hal ini, institusi kekeluargaan perlu diperkukuhkan selain ibu bapa juga perlu mengambil berat mengenai perkembangan dan masalah yang dihadapi oleh anak-anak masing-masing terutamanya ketika berada di sekolah.

"Kelonggaran institusi kekeluargaan menyebabkan banyak kelakuan negatif sepanjang proses pembesaran mereka," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas merasmikan Program Community Policing Khatan Perdana Percuma Peringkat Negeri Kelantan di Sekolah Kebangsaan (SK) Paloh Pintu Geng, di sini, hari ini. Yang turut hadir, Pengarah Bomba Negeri, Zainal Madasin.

Program anjuran bersama Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan (IPK) dan Pertubuhan Kebajikan Jalinan Ukhwah Penduduk Pintu Geng disertai 480 peserta.

Mengulas lanjut, Muhamad Zaki berkata, dalam usia yang terlalu muda, kanak-kanak masih belum memahami erti kehidupan dan memerlukan bimbingan berterusan daripada ibu bapa.

"Jika ibu bapa tidak mempunyai masa untuk anak mereka, ia akan menyebabkan anak-anak ini membesar dalam dunia sendiri dan banyak kes yang berlaku disebabkan kurangnya perhatian daripada ibu bapa," katanya.

Pada masa sama, beliau turut menyeru orang ramai supaya menjadi masyarakat prihatin terhadap semua isu berkenaan gejala sosial yang dilaporkan sering berlaku masa kini.

"Misalnya dengan mengambil peduli mengenai keadaan sekeliling selain menganggap anak jiran sebagai anak sendiri dalam usaha membendung masalah sosial daripada terus berlaku," katanya.

Berita Harian X