Sabtu, 17 Februari 2024 | 11:30am
Dari kiri Zahari Kechik, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid, Datuk Zulkafperi Hanapi, Mohd Azizi Abu Naim, Datuk Suhaili Abdul Rahman dan Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal.
Dari kiri Zahari Kechik, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid, Datuk Zulkafperi Hanapi, Mohd Azizi Abu Naim, Datuk Suhaili Abdul Rahman dan Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal.

6 Ahli Parlimen BERSATU yang sokong Anwar dicabar lepas jawatan atau berdepan pemecatan

KUALA TERENGGANU: Enam Ahli Parlimen daripada Parti Pribumi Bersatu (BERSATU) yang berpaling tadah dengan mengisytiharkan sokongan terbuka masing-masing kepada kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim, dicabar melepaskan jawatan sebagai ahli parti itu sebelum masing-masing dipecat.

Cabaran itu disuarakan Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Razali Idris, selepas mendakwa enam Ahli Parlimen terbabit berselindung di sebalik kekebalan sebagai ahli parti.

Notis Perhimpunan Agung Kgas BERSATU yang dijadualkan pada 2 Mac ini
Notis Perhimpunan Agung Kgas BERSATU yang dijadualkan pada 2 Mac ini

"Kita cabar mereka mengisytiharkan berhenti sebagai ahli parti dan melepaskan jawatan sebagai Ahli Parlimen sebelum diusir secara paksa melalui pindaan perlembagaan parti pada Perhimpunan Agung Khas, 2 Mac ini.

"Tiada agenda lain akan dibentangkan pada Perhimpunan Agung Khas BERSATU, melainkan hanya meminda perlembagaan Fasal 10 Perlembagaan parti iaitu terhentinya keahlian apabila tidak lagi menyokong perjuangan parti," katanya.

Terdahulu, Razali yang juga Ahli Majlis Tertinggi (AMT) BERSATU mengadakan program santai bersama peserta Payang Walk di Dataran Shah Bandar di sini.

Enam Ahli Parlimen BERSATU yang menyatakan sokongan kepada Anwar ialah Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Zulkafperi Hanapi; Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang); Zahari Kechik (Jeli); Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang); Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman.

Mengulas lanjut, Razali yang juga Ketua Badan Pimpinan BERSATU negeri, berkata pindaan Fasal 10 Perlembagaan parti itu dibuat berikutan fenomena setia pada parti, tetapi dalam masa yang sama menyokong parti lawan seperti dilakukan enam ahli parlimen berkenaan.

Katanya, pindaan fasal 10 itu hanya terpakai kepada Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan negeri (DUN) yang berpaling tadah menyokong parti lawan.

"Apabila pindaan Fasal 10 Perlembagaan parti itu diluluskan, keahlian enam ahli Parlimen itu secara automatik tergugur sebagai ahli dan kerusi parlimen yang diwakilinya kosong bagi membolehkan Pilihan Raya Kecil (PRK) diadakan.

"Kita cabar enam Ahli Parlimen itu mengisytiharkan berhenti daripada keahlian secara terhormat, sebelum dipaksa melalui mesyuarat Perhimpunan Agung Khas parti," katanya.

Katanya, selepas enam Ahli Parlimen itu dilucutkan keahlian mereka, surat pemakluman pemecatan akan dihantar kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat.

"Enam ahli parlimen itu bukan sahaja tergugur keahlian secara automatik, tetapi bakal dikenakan tindakan undang-undang mengikut Akta Lompat Parti," katanya.

Berita Harian X