Sabtu, 17 Februari 2024 | 11:03am
Ketua Dewan Pengurus Daerah (DPD REI) Jakarta Arvin Iskandar (dua, kiri), Asisten Perekonomian dan Keuangan Sekda Provinsi Daerah Khusus Ibukota (DKI) Jakarta Dr Sri Haryati (dua, kanan) dan Direktur Regional I Kementerian PPN/Bappenas Abdul Malik S. Idris (kanan) ketika menjadi ahli panel pada sesi Seminar Nasional Masa Depan Jakarta Pasca IKN “Tantangan Lingkungan & Kompetisi Global” sempena Hari Pers Nasional 2024 di sebuah hotel di Ancol, Jakarta Utara, hari ini. - Foto Bernama
Ketua Dewan Pengurus Daerah (DPD REI) Jakarta Arvin Iskandar (dua, kiri), Asisten Perekonomian dan Keuangan Sekda Provinsi Daerah Khusus Ibukota (DKI) Jakarta Dr Sri Haryati (dua, kanan) dan Direktur Regional I Kementerian PPN/Bappenas Abdul Malik S. Idris (kanan) ketika menjadi ahli panel pada sesi Seminar Nasional Masa Depan Jakarta Pasca IKN “Tantangan Lingkungan & Kompetisi Global” sempena Hari Pers Nasional 2024 di sebuah hotel di Ancol, Jakarta Utara, hari ini. - Foto Bernama

Media Indonesia khuatir kemenangan Prabowo ganggu kebebasan bersuara

JAKARTA: Kumpulan 15 wartawan Malaysia diberi pendedahan mengenai pelaporan berita pasca Pemilihan Umum Indonesia (PEMILU) 2024 ketika bertemu dengan beberapa ketua pengarang agensi media utama Indonesia di sini.

Mereka yang menyertai Program Jejak Serumpun Ikatan Setiakawan Malaysia-Indonesia (ISWAMI) Malaysia itu dibawa ke ibu pejabat agensi berita kerajaan ANTARA News; penerbit akhbar bahasa Inggeris, The Jakarta Post dan syarikat media alaf baharu, IDN Media.

Selain itu, wartawan Malaysia turut dijemput ke Dewan Pers Indonesia serta mengadakan pertemuan dengan perwakilan Persatuan Wartawan Indonesia (PWI).

Dalam siri pertemuan yang berlangsung itu, antara yang turut hadir termasuklah Pengarah Pemberita ANTARA News, Achmad Munir; Ketua Pengarang IDN Times, Uni Lubis dan Ketua Pengarah The Jakarta Post, M Taufiqurrahman.

Menerusi lawatan yang berlangsung itu, wartawan Malaysia didedahkan bagaimana media Indonesia berevolusi seiring perubahan tampuk kepimpinan republik itu.

Uni yang ditemui ketika jemputan kiraan pantas PEMILU 2024, berkata meskipun Menteri Pertahanan, Prabowo Subianto, dijangka meraih kemenangan, namun media Indonesia kekal merasakan ketegangan dalam industri kerana pemimpin terbabit dikaitkan dengan isu kebebasan bersuara.

Petugas Suruhanjaya Pilihan Raya Umum (KPU) membuat persiapan untuk pengiraan semula nasional keputusan pilihan raya peringkat daerah di Surabaya pada 18 Februari 2024, selepas Indonesia mengadakan pilihan raya presiden dan legislatif pada 14 Februari. Foto AFP
Petugas Suruhanjaya Pilihan Raya Umum (KPU) membuat persiapan untuk pengiraan semula nasional keputusan pilihan raya peringkat daerah di Surabaya pada 18 Februari 2024, selepas Indonesia mengadakan pilihan raya presiden dan legislatif pada 14 Februari. Foto AFP

"Kita media tempatan di sini sudah menduga Probowo akan merangkul kemenangan tetapi perkara yang mengejutkan adalah beliau dijangka tidak akan berdepan Pusingan Kedua susulan undian diraih dua pesaingnya yang sedikit, khususnya Ganjar Pronowo dari Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDIP)," katanya.

Taufiqurrahman pula menyifatkan PEMILU 2024 adalah kempen pilihan raya yang begitu mendapat sorotan media berikutan situasi yang dicetuskan Presiden Joko 'Jokowi' Widodo sendiri.

Katanya, campur tangan oleh Jokowi, termasuk membenarkan anak sulungnya, Gibran Rakabuming Raka, beraksi dalam pemilihan utama serta penggunaan sumber kerajaan dalam PEMILU 2024 mengubah pandangan media kepada pemimpin itu.

"Ketika PEMILU terdahulu, sokongan media kuat untuk Jokowi sehingga The Jakarta Post mungkin dilihat sedikit bias (berat sebelah) dalam pemberitaan kemenangannya, namun kali ini kita cuba bersikap natural dan hanya melaporkan berdasarkan fakta-fakta yang kita terima," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung ISWAMI, Mohd Shukri Isyak, berkata tujuan utama lawatan itu adalah untuk memberi pendedahan kepada media Malaysia mengenai proses demokrasi yang berbeza di Indonesia.

Beliau berkata, pelaporan berita di Indonesia yang mungkin berbeza dengan media Malaysia boleh dijadikan pengalaman baharu untuk diserapkan pemberitaan wartawan hari ini.

"Lawatan itu adalah untuk memberi pendedahan kepada wartawan Malaysia mengenai proses demokrasi terbesar dunia dan betapa ia berbeza dengan pilihan raya umum kita.

"Ia juga sebahagian usaha dalam meningkatkan kualiti pemberitaan wartawan-wartawan," katanya.

Ketika berada di Jakarta, kumpulan wartawan Malaysia bukan sahaja didedahkan kepada pelaporan pemberitaan sistem demokrasi terbesar di dunia, namun turut serta dalam pelbagai dialog berkaitan pembangunan serta kemajuan Indonesia.

Selain pertemuan dengan calon presiden Indonesia, Anies Rasyid Basweda, minggu ini mereka akan menyertai Seminar Masa Depan Jakarta Pasca IKN, Tantangan Lingkungan dan Kopetisi Global City dan Selamatkan Bumi Melalui Penerapan Prinsip Environmental Social Governance (ESG)

Berita Harian X