Sabtu, 17 Februari 2024 | 8:43am
Foto fail
Foto fail

Banjir: Satu lagi PPS dibuka di Sarawak

KUCHING: Jumlah mangsa banjir di Sarawak meningkat dengan pembukaan satu lagi pusat pemindahan sementara (PPS) iaitu di Dewan Serbaguna Taman Malihah, Matang, lewat petang semalam.

Sehingga jam 8 pagi ini, seramai 418 mangsa daripada 111 keluarga ditempatkan di empat PPS di Batu Kawa, Matang dan Bau.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak dalam kenyataan memaklumkan, PPS Dewan Serbaguna Taman Malihah yang dibuka pada jam 6 petang semalam kini mencatat jumlah tertinggi iaitu seramai 182 mangsa daripada 48 keluarga.

PPS Dewan Masyarakat Stapok pula menempatkan seramai 151 mangsa daripada 43 keluarga.

PPS Dewan R Piang, Kampung Sinar Budi Baru, Batu Kawa turut mencatat peningkatan apabila menempatkan 60 mangsa daripada 13 keluarga.

PPS Dewan Kampung Segong, Bau pula menempatkan sembilan mangsa daripada dua keluarga.

Semua PPS itu dibuka susulan beberapa kawasan di Sarawak dilanda banjir yang berlaku akibat hujan lebat

berterusan sejak jam 3 pagi semalam.

PPS Dewan R Piang yang menempatkan mangsa banjir di Kampung Sinar Budi Baru dibuka pada jam 11.15 pagi.

PPS Dewan Kampung Segong yang menempatkan mangsa banjir di Kampung Segong pula dibuka pada jam 11.30 pagi manakala PPS Dewan Masyarakat Stapok yang menempatkan mangsa banjir di Taman Desa Wira, Lorong 5i dibuka pada jam 12.45 tengah hari.

Sementara itu di Bintulu, PPS Balai Raya Kampung Assyakirin yang dibuka sejak 18 Januari lalu, masih aktif hingga kini.

PPS berkenaan menempatkan 16 penduduk daripada lima keluarga yang kediaman mereka di Iris Garden dan Pine Court rosak teruk akibat ribut.

Berita Harian X