Jumaat, 16 Februari 2024 | 3:27pm
Mohd Yusri memproses tebu bagi menghasilkan air tebu yang laris ketika musim cuaca panas ketika ini. - Foto NSTP/ZULIATY ZULKIFFLI
Mohd Yusri memproses tebu bagi menghasilkan air tebu yang laris ketika musim cuaca panas ketika ini. - Foto NSTP/ZULIATY ZULKIFFLI

Air tebu, kelapa laris pada musim panas

ALOR SETAR: "Sebelum ini nak jual air kelapa dan tebu dalam balang pun susah nak habis, tetapi ketika musim cuaca panas, tiga jam saja dah habis semuanya," kata Mohd Yusri Yusof, 38.

Mohd Yusri dan isterinya, Norfazilah Abd Hamid, 36, bersyukur kerana perniagaan air tebu dan kelapa dijual mereka di tepi Jalan Langgar berhampiran Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini, sejak setahun lalu laris setiap hari.

Katanya, dia mula berniaga dari jam 10 pagi hingga 2 petang setiap hari menjual air kelapa muda sehingga 50 biji sehari dalam balang, berbanding 20 atau 30 biji pada hari biasa sebelum ini.

"Kalau tebu pula saya guna 120 kilogram (kg) sehari, berbanding 60kg pada hari biasa kalau bukan cuaca panas.

"Tetapi sejak cuaca panas atau kemarau bermula bulan lalu, saya terpaksa menambah bekalan kelapa dan tebu disebabkan permintaan berganda daripada pelanggan yang singgah membeli," katanya ketika ditemui di gerainya.

Pasangan itu yang menetap di Kampung Kubang Lintah, Lepai tidak menyangka minuman dalam balang yang dijual menjadi pilihan pelanggan.

"Wang hasil jualan perniagaan dapatlah dikumpul untuk membeli baju sekolah serta perbelanjaan keluarga, termasuk, tiga anak yang masih kecil.

"Memang panas sungguh cuaca sekarang ini sehinggakan saya dan isteri terpaksa minum secukupnya kerana berniaga di tepi jalan yang terdedah dengan panas," katanya.

Sementara itu, tinjauan di beberapa lokasi sekitar bandar raya ini mendapati, kawasan sawah padi menjadi kering kontang akibat fenomena El Nino atau cuaca panas yang melanda negeri ini sejak bulan lalu.

Media hari ini melaporkan, Meteorologi Malaysia (METMalaysia) menjangkakan cuaca kering dan panas dialami negeri di utara Semenanjung dengan suhu melebihi 35 darjah Celsius.

Berita Harian X