Jumaat, 16 Februari 2024 | 10:23am

PM yakin harga beras yang dikawal dapat dikurangkan

BUKIT MERTAJAM: Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin harga beras yang dikawal dapat dikurangkan selepas beberapa perincian diteliti dalam mesyuarat khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) yang dijangka berlangsung minggu depan.

Justeru, Perdana Menteri berkata, dalam mesyuarat itu nanti beberapa cadangan akan dikemukakan sebelum harga kawalan beras akan diputuskan secara muktamad.

"Dalam hal ini, harga beras tak boleh rendah sangat, tetapi saya yakin (ia) boleh dikurangkan dengan cara kita teliti perolehan beras, pemberian kontrak serta keuntungan yang diperoleh," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Jualan Termurah Madani di Bandar Perda, di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Menangani Harga Makanan dan Kos Sara Hidup, Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal.

Kerajaan sebelum ini dilapor akan memperkenalkan kategori tunggal bagi beras putih dikenali sebagai Beras Putih Malaysia Madani, untuk menggantikan kategori beras putih tempatan dan import di pasaran negara ini .

Syed Abu Hussin ketika mengumumkan perkara itu berkata kerajaan turut menetapkan harga siling bagi beras putih pada kadar RM30 bagi kampit 10 kilogram (kg), manakala RM15.50 (5kg) dan RM3.50 (1kg), berkuat kuasa Isnin ini,

Dalam pada itu, Anwar memaklumkan mesyuarat khas NACCOL sepatutnya sudah pun berlangsung, namun ia terpaksa ditangguhkan ke minggu hadapan atas sebab yang mendesak.

Beliau bagaimanapun tidak menjelaskan punca penangguhan itu sama ada mempunyai kaitan dengan pengenalan Beras Putih Malaysia Madani yang dijangka mula berada di pasaran 1 Mac ini.

Sementara itu Perdana Menteri memaklumkan kerajaan akan mengambil pelbagai pendekatan untuk mengurangkan beban rakyat dengan menggunakan kuasa bagi menangani isu kartel beras.

"Kita faham kalau rugi, tidak ada siapa nak berniaga.... tetapi janganlah ambil untung tinggi sangat. Sebab jika untung terlalu tinggi harga jualan di pasaran akan meningkat sekali gus rakyat terbeban.

"Selain itu, kita juga ada pegawai yang tekun dan bersungguh-sungguh jalankan tugas, sebab itu dalam beberapa hal seperti mana kita apungkan harga ayam (berlaku).

"Masa dulu ada kata kartel tunggu, tapi siapa pun tak berani sentuh. Jadi, baru-baru ini kita beritahu panggil dia (pengilang atau pembekal) tanya berapa untung... kalau lebih sangat, kuasa kerajaan akan digunakan untuk pertahankan rakyat," katanya

Anwar juga berkata, kerajaan berhasrat menjadikan Program Jualan Termurah MADANI sebagai salah satu daripada program di bawah kendalian kerajaan susulan penerimaan baik oleh rakyat.

"Saya sudah beritahu Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu untuk bincang kalau boleh jadikan ini (Jualan Termurah MADANI) sebagai program kerajaan setelah diteliti oleh semua jabatan dan agensi kerajaan terutamanya di bawah Kementerian Pertanian serta KPDN (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup)," katanya.

Berita Harian X