Jumaat, 16 Februari 2024 | 10:09am
Foto NSTP
Foto NSTP

Perhimpunan khas pinda Perlembagaan Bersatu 2 Mac

KUALA LUMPUR: BERSATU akan mengadakan Perhimpunan Agung Khas pada 2 Mac ini, bagi meminda perlembagaan parti susulan tindakan enam Ahli Parlimennya menyatakan sokongan terhadap pentadbiran kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"InsyaAllah maka tamatlah riwayat enam jahanam, mudah-mudahan Bersatu kembali bangkit dan terus mara," kata Ketua Penerangan, Datuk Razali Idris dalam ]hantaran di Facebook, yang disertai surat makluman mesyuarat itu.

Surat makluman mesyuarat itu bertarikh 13 Februari lalu dan ditandatangani Setiausaha Agung parti, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Perhimpunan khas itu akan diadakan selama dua jam bermula jam 3 petang di Pusat Konvensyen Ideal IDCC Shah Alam.

"Bersesuaian dengan Fasal 12.5.1 Perlembagaan parti, maka Perhimpunan Agung Khas BERSATU akan diadakan pada tarikh, masa dan tempat seperti ketetapan berikut.

"Sehubungan dengan itu, diharapkan semua perwakilan dapat hadir demi menjalankan tanggungjawab sebagai ahli parti," menurut surat itu.

Enam Ahli Parlimen Bersatu yang menyatakan sokongan kepada Anwar adalah Datuk Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang); Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang); Zahari Kechik (Jeli); Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang); Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar); dan Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

Pada 29 Januari lalu, Hamzah berkata, BERSATU memutuskan meminda Perkara 10 dalam perlembagaan parti bagi menghalang insiden sama berulang, selain sedia berdepan PRK jika berlaku pengosongan kerusi wakil rakyatnya yang diambil tindakan.

Berita Harian X