Jumaat, 16 Februari 2024 | 8:59am
Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir diiringi Aminuddin menyampaikan hadiah kepada pemenang tilawah al-Quran. - Foto Pejabat MB.
Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir diiringi Aminuddin menyampaikan hadiah kepada pemenang tilawah al-Quran. - Foto Pejabat MB.

Kes Nik Elin: Negeri Sembilan rujuk ketetapan dibuat Jawatankuasa Khas MKI

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan akan merujuk kepada ketetapan yang akan dibuat jawatankuasa khas Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) berhubung kesan keputusan Mahkamah Persekutuan pada Jumaat lalu, yang membatalkan 16 kesalahan syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata setakat ini tiada keperluan untuk mewujudkan jawatankuasa khas di peringkat negeri bagi mengkaji keputusan berkenaan kerana jawatankuasa di peringkat MKI berkenaan sudah mencukupi sebagai rujukan.

"Kita lihat tidak perlu ada dua jawatankuasa yang sama kerana apa yang telah dibuat di peringkat Persekutuan itu sudah mencukupi untuk kita (negeri) rujuk selepas ini terutama dari segi kesan dan tindakan yang perlu diambil.

"Kenapa perlu ada dua perkara (jawatankuasa) yang sama sedangkan jawatankuasa di peringkat Persekutuan itu sudah memadai, tambahan pula saya lihat senarai jawatankuasa MKI itu membabitkan bekas hakim dan hakim-hakim Mahkamah Syariah.

"Jadi, saya yakin bahawa perkara ini akan lebih tersusun dan kita juga berharap masa akan datang, apa-apa juga undang-undang yang ingin kita bawa berkaitan Rang Undang-Undang (RUU) di peringkat negeri atau enakmen negeri akan lebih mudah, teratur dan ada SOP (prosedur operasi standard) dia," katanya.

Beliau ditemui pemberita pada Majlis Perasmian Penutup dan Penyampaian Hadiah Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Negeri Sembilan di Pusat Dakwah Islamiah, Paroi, di sini, malam tadi.

Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir berkenan merasmikan majlis berkenaan.

Jumaat lalu, panel lapan hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat membuat keputusan membatalkan 16 kesalahan syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.

Ia susulan petisyen dikemukakan peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman.

Mengulas lanjut mengenai kemungkinan selepas ini akan ada pihak yang akan mencabar enakmen negeri, Aminuddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, berkata itu terpulang kepada hak masing-masing.

Beliau bagaimanapun yakin selepas ini perkara berkenaan akan lebih teratur dan lebih baik kerana mempunyai garis panduan yang jelas melalui ketetapan oleh Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri Untuk Menggubal Undang-Undang Islam.

"Keputusan Mahkamah Persekutuan itu menjadi pengajaran kepada kita, namun selepas ini melalui ketetapan jawantankuasa MKI itu nanti yang membabitkan pakar-pakar dalam bidang syariah dan sivil, akan lebih mudah untuk kita membuat rujukan dan mengubal atau menyediakan sesuatu enakmen.

"Sebenarnya harus lebih menyeluruh (RUU) kerana kadang-kadang kita buat enakmen agama Islam hanya untuk kita tetapi ia bertentangan dengan pihak Persekutuan,"

katanya.

Berita Harian X