Khamis, 15 Februari 2024 | 9:47pm
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Tan Sri Azam Baki.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Tan Sri Azam Baki.

SPRM teliti peruntukan lapuk

KUALA LUMPUR: Peruntukan lapuk dalam beberapa undang-undang sedia ada dikenal pasti sebagai antara faktor yang membuka ruang kepada amalan rasuah, terutama dalam kalangan penjawat awam.

Perkara itu didedahkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, yang turut memaklumkan kajian semula ke atas keseluruhan peruntukan berkenaan sedang dibuat agensi itu bersama pihak berkaitan.

Mengetengahkan contoh kontrak pemerolehan secara rundingan terus, Azam berkata, nilai RM50,000 bagi tujuan itu tidak pernah disemak sejak ditetapkan pada 1990-an, sekali gus menyebabkan ramai kontraktor mungkin memberi rasuah untuk memenangi tender.

Beliau berkata, penetapan nilai kontrak pemerolehan secara rundingan terus sepatutnya disemak secara berkala untuk disesuaikan dengan kadar semasa, seiring perubahan nilai mata wang.

"Kontraktor sivil hanya meraih keuntungan maksimum 15 peratus daripada nilai kontrak. Bayangkan kalau RM50,000 dan mereka bersusah payah untuk mendapatkan kontrak, mereka hanya meraih keuntungan bernilai RM7,500.

"Apakah nilai RM7,500 kalau projek berkenaan dibuat di atas bukit? Harga kereta dan hantaran kahwin pun sudah naik, mana ada yang rendah. Justeru, kita perlu tengok nilai (mata wang) semasa.

"Perkara kecil seperti ini perlu dilihat, untuk melihat isu tadbir urus atau tatakelola umpamanya, perihal pemerolehan perlu diperbetul dan ditambah baik dari semasa ke semasa," katanya pada sesi dialog 'Integriti: Sejauh Mana Ketelusan Dinilai?' disiarkan stesen televisyen milik kerajaan Sarawak, malam ini.

Azam berkata, SPRM juga sedang meneliti proses lapuk berhubung kawalan syarikat monopoli di negara ini, selain memaklumkan tiada undang-undang yang mampu menghalang dan menangani isu berkenaan.

"Bayangkan mereka (syarikat monopoli) dibayar dua atau tiga peratus, ia sebenarnya tidak salah mengikut undang-undang.

"Justeru, SPRM membuat intervensi dan menyiasat perkara ini, selain mengemukakan ruang yang perlu dilihat dalam memperbetul tadbir urus.

"Budaya (tatakelola baik) tidak dapat diwujudkan tanpa memperbetul sistem dan proses supaya ada panduan kepada masyarakat di negara ini," katanya.

Sementara itu, Azam mengakui bimbang dengan kemungkinan penjawat awam terdiri daripada kelompok siswa institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan, antara 1998 hingga 2003, terbabit dalam amalan rasuah.

Katanya, ini berikutan hasil kajian berkaitan integriti dalam kalangan mahasiswa dilakukan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 2003, mendapati 30 peratus daripada responden sedia mengambil rasuah, jika diberi peluang.

"Kumpulan mahasiswa antara 1998 hingga 2003 ini berada dalam pasaran kerjaya ketika ini dan tahap integriti mereka pada 2003 adalah membimbangkan.

"Malah, dalam rekod SPRM, kebanyakan individu disiasat (berkaitan kes rasuah) adalah daripada golongan yang memegang kuasa dalam kumpulan siswa berkenaan," katanya.

Berita Harian X