Khamis, 15 Februari 2024 | 8:57pm
Amirudin (duduk tengah) bersama pegawai serta anggota Angkatan Pertahanan Awam pada Majlis Perhimpunan Setia Angkatan Pertahanan Awam Negeri Selangor di Dewan Jubli Perak, SUK Selangor Shah Alam.- Foto NSTP/Faiz Anuar
Amirudin (duduk tengah) bersama pegawai serta anggota Angkatan Pertahanan Awam pada Majlis Perhimpunan Setia Angkatan Pertahanan Awam Negeri Selangor di Dewan Jubli Perak, SUK Selangor Shah Alam.- Foto NSTP/Faiz Anuar

Kerajaan negeri junjung kasih titah Sultan Selangor

SHAH ALAM: Kerajaan negeri menjunjung kasih titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang mengingatkan semua pihak agar menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan dan kedudukan Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang utama negara.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata kerajaan negeri juga sentiasa mengikut garis panduan yang ditetapkan dalam perlembagaan Persekutuan dalam isu menggubal undang-undang.

"Hari ini, MKI (Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia) menerusi pengerusinya baginda Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengeluarkan titah kenyataan.

"Saya selaku Menteri Besar Selangor menjunjung tinggi atas titah Sultan Selangor yang melihat isu ini lebih kepada isu Perlembagaan dan urusan pentadbiran negara serta pentadbiran syariah berbanding dengan politisasi sesetengah pihak yang sudah kekeringan idea," katanya.

Beliau berkata sedemikian ketika ditemui selepas Majlis Perhimpunan Setia Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Selangor di sini, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan Sultan Selangor dalam titah kenyataan mengingatkan semua pihak harus menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan dan kedudukan Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang utama negara perlu sentiasa didokongi rakyat Malaysia.

Menerusi hantaran Facebook Selangor Royal Office hari ini, Sultan Selangor turut bertitah dalam menangani isu yang berbangkit ini apa yang lebih penting ialah usaha dalam mencari jalan untuk mengatasi segala permasalahan yang timbul.

Titah baginda, usaha itu perlu dilaksanakan dengan mengkaji kaedah memperluaskan kompetensi Badan Perundangan Negeri untuk menggubal undang-undang jenayah syariah dalam kerangka yang ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan.

Pada Jumaat minggu lalu, Mahkamah Persekutuan dalam satu keputusan bersejarah, mengisytiharkan 16 kesalahan syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 adalah terbatal dan tidak sah.

Keputusan terhadap petisyen dikemukakan peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman itu dibacakan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat.

Menangani isu berbangkit, Sultan Selangor turut bertitah, apa yang lebih penting ialah usaha mencari jalan untuk mengatasi segala permasalahan timbul.

Berita Harian X