Khamis, 15 Februari 2024 | 5:16pm
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid. Gambar fail
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid. Gambar fail

'Kita tunggu laporan lengkap SKMM sebelum ambil tindakan terhadap individu ugut Nik Elin Zurina'

KUALA LUMPUR: Polis masih menunggu laporan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) bagi melengkapkan siasatan berhubung dakwaan ugutan bunuh diterima peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid susulan tindakannya mencabar peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid, berkata sebelum ini, pihaknya membuka tiga kertas siasatan membabitkan dakwaan ugutan bunuh itu.

"Daripada tiga kertas siasatan itu, satu (kertas siasatan) sudah selesai, manakala dua lagi masih dalam tindakan.

"Kertas siasatan yang sudah selesai itu sudah diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) dan dua lagi dalam siasatan termasuk menunggu laporan SKMM dan lain-lain.

"Sebaik kita dapat (laporan), kertas siasatan akan dilengkapkan sebelum diserahkan kepada TPR untuk tindakan lanjut," katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pelupusan Barang Kes Siri 1/2024 di Balai Polis Alam Damai, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Nik Elin memaklumkan beliau menerima beberapa ugutan bunuh susulan tindakannya mencabar peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.

Mahkamah Persekutuan dalam keputusan majoriti 8-1 pada 9 Februari lalu memutuskan 16 kesalahan di bawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 adalah batal dan tidak sah.

Polis pula pada Rabu lalu mengesahkan sudah mengenal pasti identiti pemilik tiga akaun media sosial yang dipercayai mengugut Nik Elin Zurina dan membuka tiga kertas siasatan berhubung ugutan itu.

Mengulas lanjut, Allaudeen berkata, pihak polis sudah mengenal pasti individu terbabit, namun tiada sebarang tangkapan dibuat setakat ini.

"Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak menjadikan perkara ini (pembatalan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019) sebagai isu polemik.

"Isu ini berkaitan bidang kuasa membuat undang-undang antara Parlimen dengan Dewan Undang Negeri (DUN) seperti kita lihat dalam penghakiman kes itu.

"Jadi, jangan kita terarah ke isu lain. Selepas selesai siasatan, pendakwaan akan putuskan berhubung individu yang terbabit membuat ugutan itu," katanya.

Berita Harian X