Khamis, 15 Februari 2024 | 3:40pm
Seramai 745 kanak-kanak berusia seawal lima dan enam tahun dari seluruh negeri berjaya khatam 30 juzuk al-Quran pada Majlis Khatam Tadika Agama Johor (TAJ) ke-13, di sini, hari ini. - Foto FARID NOH
Seramai 745 kanak-kanak berusia seawal lima dan enam tahun dari seluruh negeri berjaya khatam 30 juzuk al-Quran pada Majlis Khatam Tadika Agama Johor (TAJ) ke-13, di sini, hari ini. - Foto FARID NOH

745 kanak-kanak Tadika Agama Johor khatam 30 juzuk al-Quran

ISKANDAR PUTERI: Seramai 745 kanak-kanak berusia seawal lima dan enam tahunberjaya khatam 30 juzuk al-Quran diraikan pada Majlis Khatam Tadika Agama Johor (TAJ) ke-13, di sini, hari ini.

Mereka adalah pelajar TAJ kendalian Kerajaan Johor di seluruh negeri ini yang mula belajar al-Quran seawal usia empat tahun.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd Fared Mohd Khalid, berkata ia sekali gus membuktikan keberkesanan modul digunakan TAJ.

Sehubungan itu, katanya Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) menyasarkan seramai 50,000 murid sekolah agama di negeri ini akan khatam al-Quran dalam usia lima dan enam tahun.

"Bagi mencapai hasrat itu, Kerajaan Johor berhasrat menambah jumlah program prasekolah Tadika Agama Johor (TAJ) di setiap daerah negeri ini.

"Langkah ini sekali gus dapat menampung permintaan yang tinggi dalam kalangan ibu bapa yang mahu menghantar anak-anak mereka bagi mendapat pendidikan awal agama Islam.

"Kita berhasrat menambah bilangan TAJ dengan sekurang-lurangnya dua tadika di setiap daerah. Jika sesebuah daerah mempunyai permintaan yang tinggi seperti di Johor Bahru, kita akan pertimbangkan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Khatam al-Quran TAJ ke-13 di Stadium Arena Kompleks Sukan Educity, di sini hari ini.

TAJ adalah program pendidikan yang memberi fokus kepada perkembangan murid secara menyeluruh serta seimbang diwujudkan sebagai salah satu langkah persediaan diri bagi murid untuk menghadapi alam persekolahan.

TAJ mula diasaskan pada 2001 dan beroperasi di beberapa sekolah Agama Kerajaan Johor (SAKJ) yang terpilih.

Dalam pada itu, Mohd Fared berkata, sehingga kini, dianggarkan sebanyak 201 TAJ beroperasi di seluruh negeri ini.

"Ada sekolah yang mendapat kekangan untuk menyediakan program prasekolah ini kerana bangunan sekolah itu digunakan sepenuhnya.

"Menerusi penambahan program tersebut, kita perlu mengambil kira untuk menambah bilangan tenaga pengajar dan pembantu," katanya.

Berita Harian X