Khamis, 15 Februari 2024 | 3:01pm
Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin
Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin

PN wujudkan jawatankuasa khas kaji kes Nik Elin - Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) akan mewujudkan Jawatankuasa Khas Teknikal dan Dokumentasi Undang-undang susulan keputusan Mahkamah Persekutuan membatalkan 16 kesalahan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019, Jumaat lalu.

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata PN juga akan menganjurkan Persidangan Meja Bulat membabitkan pakar perlembagaan dan perundangan Islam, ulamak dan ilmuwan Islam.

Keputusan itu diputuskan Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi PN yang dipengerusikannya semalam dan turut dihadiri Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Muhyiddin berkata, PN memandang serius keputusan Mahkamah Persekutuan berkenaan yang diyakini akan memberi kesan besar terhadap kedudukan dan skop undang-undang syariah di negara ini.

"Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi PN juga sudah membincangkan dan memperhalusi secara khusus isu keputusan Mahkamah Persekutuan berkaitan Enakmen Jenayah Syariah Negeri Kelantan baru-baru ini dan kesannya terhadap perundangan syariah, umat Islam dan masyarakat Malaysia amnya.

"Sehubungan itu, PN akan mewujudkan Jawatankuasa Khas Teknikal dan Dokumentasi Undang-undang yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

"Jawatankuasa ini bagi mencadangkan tindakan susulan bagi memperkasakan kedudukan perundangan syariah khususnya dan memelihara kepentingan umat Islam, amnya.

"PN juga akan menganjurkan Persidangan Meja Bulat yang akan diketuai Datuk Idris Ahmad yang membabitkan pemegang taruh berkaitan termasuk pakar perlembagaan dan perundangan Islam, ulamak serta ilmuwan Islam," katanya dalam kenyataan hari ini.

Jumaat lalu, panel lapan hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat dilaporkan membuat keputusan membatalkan 16 kesalahan syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.

Ia susulan petisyen dikemukakan peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman.

Tengku Maimun dalam penghakiman panel dilaporkan berkata, mahkamah membenarkan petisyen itu kerana Dewan Undangan Negeri (DUN) membuat undang-undang yang ia tidak mempunyai kuasa untuk membuatnya.

Keputusan berkenaan dicapai melalui penghakiman majoriti 8-1 di mana Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abdul Rahman Sebli, membuat keputusan berbeza.

Kedua-dua pempetisyen memohon Mahkamah Persekutuan membatalkan 18 kesalahan syariah dalam enakmen Kelantan atas alasan DUN terbabit bertindak melangkaui bidang kuasanya.

Bagaimanapun panel memutuskan dua lagi peruntukan kesalahan dalam enakmen itu adalah sah.

Berita Harian X