Khamis, 15 Februari 2024 | 12:53pm
Abdullah Zaik, Awang Suffian dan Khairudin didakwa atas 164 tuduhan pecah amanah, menipu dan terbabit pengubahan wang haram di Mahkamah Sesyen, Shah Alam hari ini. NSTP/ AIZUDDIN SAAD
Abdullah Zaik, Awang Suffian dan Khairudin didakwa atas 164 tuduhan pecah amanah, menipu dan terbabit pengubahan wang haram di Mahkamah Sesyen, Shah Alam hari ini. NSTP/ AIZUDDIN SAAD

Pengerusi, CEO Aman Palestin dituduh pecah amanah, tipu, ubah wang haram RM39.5j, lebih 2 jam baca 164 tuduhan

SHAH ALAM: Pengerusi Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Aman Palestin Berhad (Aman Palestin) adalah antara tiga lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas 164 tuduhan pecah amanah, menipu dan terbabit pengubahan wang haram berjumlah keseluruhan RM39.5 juta.

Semua 164 pertuduhan itu dibacakan lebih dua jam oleh jurubahasa di hadapan Hakim Datuk Anita Harun membabitkan tertuduh, Pengerusi Aman Palestin, Abdullah Zaik Abdul Rahman, 58, dan CEO, Awang Suffian Awang Piut, 52, serta pengarah sebuah syarikat pelaburan, Khairudin Mohd Ali, 49.

Bagaimanapun, semua mereka mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dikemukakan.

Bagi kesalahan pecah amanah, Abdullah Zaik dan Awang Suffian masing-masing didakwa atas 52 pertuduhan sebagai Pengarah Samudra Champa Sdn Bhd (Samudra Champa) yang diamanahkan dengan harta milik Aman Palestin iaitu wang RM20,946,498.80.

Mereka didakwa melakukan pecah amanah jenayah ke atas harta itu di sebuah bank di Bandar Baru Bangi, antara 12 Mac 2018 hingga 3 November 2023.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan (KK) yang sabit kesalahan boleh dipenjara antara dua hingga 20 tahun, sebat dan denda.

Abdullah Zaik dan Awang Suffian juga didakwa secara bersama bagi 19 pertuduhan lain iaitu dengan curangnya memperdayakan Lembaga Pemegang Amanah Aman Palestin untuk menyerahkan wang RM39,150,000 kepada syarikat sama.

Ia bagi pembelian emas sedangkan harga pembeliannya lebih rendah iaitu RM33,399,970 yang mana Lembaga Pemegang Amanah Aman Palestin Berhad tidak akan menyerahkan wang jika tidak diperdayakan sedemikian oleh kedua-dua tertuduh.

Kedua-dua lelaki terbabit didakwa melakukan kesalahan berkenaan di pejabat Aman Palestin di Seksyen 3, Bandar Baru Bangi, antara 24 September 2021 hingga 14 Julai 2023, mengikut Seksyen 420 KK dibaca bersama Seksyen 34 KK yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 10 tahun, sebat dan denda.

Abdullah Zaik dan Awang Suffian juga masing-masing berdepan 19 pertuduhan lagi sebagai pengarah syarikat terbabit menggunakan hasil daripada aktiviti haram iaitu wang RM12,833,772.16.

Ia sebagai bayaran bagi pembelian sebuah rumah, rumah kedai, lot tanah, lot kedai, kilang pejabat berkembar dan sebuah kereta Toyata Vellfire bagi pihak Samudra Champa.

Sementara itu, Khairudin sebagai pengarah syarikat sama didakwa atas tiga tuduhan menggunakan hasil aktiviti haram membabitkan wang RM6,038,016.60 sebagai bayaran bagi pembelian lot kedai, rumah kedai dan kilang pejabat berkembar.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di beberapa bank di Bandar Baru Bangi dan Kajang, antara 1 Jun 2018 hingga 3 Mei 2023.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) dibaca bersama Seksyen 87(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan boleh dipenjara hingga 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.

Ketika prosiding, pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ahmad Akram Gharib, Wirna Rifin @ Arifin dan Nurul Atiqah Mohamad Alias serta pegawai pendakwa SPRM, Fatin Farhana Ismail, manakala ketiga-tiga tertuduh diwakili peguam, Siti Mardhiyyah Zamani.

Anita kemudian membenarkan Abdullah Zaik dan Awang Suffian masing-masing diikat jamin bon RM1 juta dengan seorang penjamin serta syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah, manakala bon jaminan RM200,000 bagi Khairudin dengan syarat sama.

"Mahkamah menerima dan bersetuju dengan jaminan serta syarat dicadangkan (pihak pendakwaan dan pembelaan) buat ketiga-tiga tertuduh, jumlah itu munasabah.

"Mahkamah juga membenarkan separuh daripada jumlah jaminan didepositkan hari ini (semalam) dan bakinya sebelum atau pada 13 Mac iaitu tarikh sebutan semula kes ini," katanya.

Pada 8 Januari lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, mengesahkan siasatan terhadap Aman Palestin tertumpu mengenai wang dibelanjakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu termasuk perbelanjaan penubuhan beberapa syarikat.

Turut disiasat mengenai pelaburan jongkong emas oleh Aman Palestin dan penerimaan wang yang didakwa sudah diagihkan kepada penerima bantuan di beberapa negara termasuk Palestin dan Syria.

Pada November lalu, SPRM mengesahkan membeku 41 akaun Aman Palestin dan beberapa entiti syarikat lain yang berkaitan dengan jumlah keseluruhan RM15,868,762.

Ia berhubung siasatan agensi penguatkuasaan itu terhadap dakwaan syarikat pertubuhan amal berkenaan menyalahgunakan wang sumbangan orang ramai sejak 17 Oktober lalu.

Berita Harian X