Khamis, 15 Februari 2024 | 11:58am
Presiden AMANAH, Datuk Seri Mohamad Sabu. Gambar fail
Presiden AMANAH, Datuk Seri Mohamad Sabu. Gambar fail

'Jadikan jawatankuasa khas kaji kompetensi DUN gubal undang-undang Islam badan berautoriti semua negeri'

KUALA LUMPUR: Parti Amanah Negara (AMANAH) menggesa Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Untuk Menggubal Undang-Undang Islam diperkasakan sebagai platform perundingan dan badan advokasi berautoriti ke atas semua negeri bagi memperkasa bidang kuasa mahkamah syariah.

Presiden AMANAH, Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata gesaan itu dibuat supaya apa juga pindaan atau penggubalan peruntukan baharu undang-undang syariah perlu menjadi lebih harmoni, seragam dan selaras dengan Perlembagaan Persekutuan membabitkan semua wakil negeri dan Persekutuan.

"Keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid yang mana 16 peruntukan dalam Enakmen Jenayah Syariah Kelantan adalah terbatal kerana ia melangkaui bidang kuasa negeri seperti mana peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

"Perkara 4(1) menyatakan dengan jelas bahawa apa-apa undang-undang yang bertentangan dengan Perlembagaan adalah terbatal," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Minggu lalu, Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan 16 daripada 18 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 adalah terbatal dan tidak sah.

Panel sembilan hakim dalam keputusan majoriti 8-1 diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat memutuskan demikian selepas membenarkan petisyen Nik Elin Zurina dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman selaku pempetisyen bagi mencabar 18 peruntukan enakmen itu, manakala Kerajaan Kelantan selaku responden tunggal.

Dengan keputusan itu, Badan Perundangan Negeri Kelantan tidak lagi mempunyai bidang kuasa menggubal 16 peruntukan undang-undang yang dipertikaikan itu, manakala hanya dua undang-undang Seksyen 13 dan 30 yang dibenarkan.

Mengulas lanjut, Mohamad yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan berkata, keputusan Mahkamah Persekutuan itu juga mengikat rakyat Malaysia kerana fungsi mahkamah adalah mentafsirkan undang-undang.

"Fungsi mahkamah ini harus dihormati bagi menjamin kestabilan pentadbiran negara yang berpegang kepada pengasingan kuasa antara badan legislatif, eksekutif dan kehakiman.

"Maka, apa-apa dakwaan bahawa keputusan kes itu menentang undang-undang syariah adalah tidak berasas dan ia satu permainan sentimen yang mengelirukan sesetengah pihak," katanya.

Ahli Parlimen Kota Raja itu berkata, keputusan itu juga tidak langsung merungkai atau menghakis bidang kuasa mahkamah syariah.

"Undang-undang syariah tetap diperjuangkan AMANAH untuk diperkasakan supaya kedudukan dan pelaksanaan setiap undang-undang syariah dijalankan secara berhikmah, harmoni dan selamat tanpa terbatal kerana tidak berperlembagaan," katanya.

Berita Harian X