Khamis, 15 Februari 2024 | 11:51am
Muhammad Anas Ikmal Mohd Khairi dibantu ibu, Noor Naemmah Abdul Hamid, mencuba baju sekolah. - NSTP/DANIAL SAAD
Muhammad Anas Ikmal Mohd Khairi dibantu ibu, Noor Naemmah Abdul Hamid, mencuba baju sekolah. - NSTP/DANIAL SAAD

Makin pulih kanser, Anas tak sabar kembali bersekolah, main ragbi dan bola sepak

BUKIT MERTAJAM: Muhammad Anas Ikmal Mohd Khairi,11, tidak sabar menunggu sesi baharu persekolahan pada 11 Mac depan untuk kembali aktif bermain sukan kegemarannya, ragbi serta bola sepak selepas kanser limfoma yang menyerang kian pulih.

Lapan sesi kemoterapi sudah dilalui sejak murid Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Indera Muda itu disahkan menghidap kanser itu pada Oktober tahun lalu yang mengekang pembabitannya dalam beberapa kejohanan sukan pada sesi akhir persekolahan.

"Banyak kejohanan ragbi dan bola sepak ada, tapi saya tak dapat masuk sebab kerap ke hospital. Sekarang, saya makin baik, tak sabar nak kembali ke sekolah. Saya sudah mula main sikit demi sikit, tetapi cepat penat.

"Penyakit sudah mula baik, harap betul-betul sembuh supaya dapat kembali jadi wakil sekolah," katanya ketika ditemui pada Majlis 'Back to School' anjuran Sahabat Kanak-kanak Kanser Wilayah Utara (Foccan), di sini, semalam.

Ibunya, Noor Naemmah Abdul Hamid, 43, berkata anak ketiga itu tidak ke sekolah hampir lima bulan kerana perlu menjalani rawatan kemoterapi.

"Pada masa ini, biarpun sel kanser tidak merebak, dia masih perlu menjalani rawatan susulan. Syukur sangat dengan keadaan dia dan harap dia akan sembuh sepenuhnya," katanya memaklumkan suaminya turut menghidap kanser limfoma.

Dalam pada itu, Pengerusi Foccan, Maznah Tayib, berkata 80 kanak-kanak yang menghidap kanser dan mula pulih, menerima bantuan persekolahan bagi meringankan beban keluarga mereka.

"Ini program ketujuh kita anjurkan bagi membantu kanak-kanak ini yang akan menyambung kembali persekolahan yang tertangguh seketika akibat kanser. Kita mahu mereka teruskan kehidupan sebagai pelajar yang memiliki ilmu dan maju dalam kehidupan seperti kanak-kanak lain.

"Kita harap sumbangan ini bukan saja dapat membantu meringankan beban keluarga dalam menyediakan keperluan sekolah, tetapi sebagai semangat untuk pelajar tidak menjadikan sakit sebagai penghalang untuk berjaya," katanya.

Berita Harian X