Rabu, 14 Februari 2024 | 9:08pm
Batu ikonik yang dikenali sebagai ‘Turus Laut Kepala Ular’ runtuh akibat fenomena alam semula jadi. - Foto FB Sarawak Forestry Corporation (SFC)
Batu ikonik yang dikenali sebagai ‘Turus Laut Kepala Ular’ runtuh akibat fenomena alam semula jadi. - Foto FB Sarawak Forestry Corporation (SFC)

Batu ikonik runtuh tidak jejaskan tarikan pelancong ke Bako

KUCHING: Kemusnahan batu ikonik yang runtuh akibat dipukul ombak kuat tidak akan menjejaskan kehadiran pelancong ke Taman Negara Bako, di sini.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, banyak lagi tarikan lain boleh diteroka di taman negara terkecil di Asia yang hanya berkeluasan 27 kilometer persegi itu.

Menurutnya, tiada siapa dapat menghalang kemusnahan batu yang dikenali sebagai 'Turus Laut Kepala Ular' itu yang runtuh akibat fenomena alam semula jadi.

"Bahagian pangkal batu yang terbentuk daripada batuan pasir itu semakin mengecil akibat hakisan ombak kuat sejak sekian lama.

"Memang saya pun sedih dengan kehilangan batu yang menjadi daya tarikan pengunjung untuk merakam gambar kenangan itu, tetapi apa yang berlaku itu adalah disebabkan hukum alam," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas cubaan DAP Sarawak untuk mempolitikkan runtuhan batu itu.

Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah menunjukkan gambar beliau berlatar belakangkan batu ikonik di Taman Negara Bako. - NSTP/Nadim Bokhari
Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah menunjukkan gambar beliau berlatar belakangkan batu ikonik di Taman Negara Bako. - NSTP/Nadim Bokhari

Batu ikonik Bako. - Foto FB Sarawak Forestry Corporation
Batu ikonik Bako. - Foto FB Sarawak Forestry Corporation

Hari ini, Pembantu Khas Pengerusi DAP Sarawak dan Ahli Parlimen Stampin, Chong Chieng Jen, Micheal Kong berkata, tindakan segera diperlukan untuk melindungi tarikan pelancong di negeri ini dan menyeru kedua-dua Kerajaan Persekutuan dan negeri untuk menjadikannya sebagai keutamaan bagi melindungi tarikan pelancong yang tidak ternilai.

Kong berkata, langkah segera perlu diambil oleh kerajaan kerana selepas satu lagi formasi batu yang menarik kerana berbentuk seperti kepala kuda sedang minum di Pantai Tusan di Miri runtuh pada Februari 2020.

Mengulas lanjut, Abdul Karim berkata, DAP yang kini satu-satunya pembangkang dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak seolah-olah tiada cara lain lagi untuk meraih perhatian.

"Batu pun nak dipolitikkan. Adakah dia (Kong) mahu menentang hukum alam semula jadi?" katanya.

Abdul Karim berkata, Kong harus tahu sebab utama sebahagian kawasan pantai di sekitar Bako yang terletak 37 kilometer dari Kuching itu diisytiharkan sebagai taman negara pada 1957 adalah untuk memelihara formasi batu timbunan laut di kawasan itu.

Berita Harian X