Rabu, 14 Februari 2024 | 6:04pm
Jasmine (kiri) dan Jho Low. Gambar fail
Jasmine (kiri) dan Jho Low. Gambar fail

'Jho Low minta Kok Thiam buat surat sahkan duit masuk akaun Najib derma Arab Saudi'

KUALA LUMPUR: Ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low, mengarahkan sekutunya, mendiang Kee Kok Thiam menyediakan surat pengesahan daripada Putera Saud Abdulaziz Al-Saud yang menyatakan dana dimasukkan ke dalam akaun peribadi Datuk Seri Najib Razak, adalah derma daripada Arab Saudi.

Perkara itu dinyatakan bekas peguam 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Jasmine Loo , 50, ketika memberikan keterangan sebagai saksi pendakwaan ke-50 di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.

Jasmine berkata, kejadian itu berlaku di bilik Business Centre di Hotel Mayfair di London ketika beliau diminta berjumpa Jho Low, pada awal 2015.

Katanya, ketika tiba di bilik itu, beliau ternampak Kok Thiam; Pengarah Urusan Ihsan Perdana Sdn Bhd, Datuk Dr Shamsul Anwar Sulaiman dan Pengarah Projek Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) 1MDB, Dennis See Thuan Buan.

"Ketika itu, Shamsul bertanyakan Jho Low mengenai jalan penyelesaian berkaitan isu wang diterima dalam akaun Najib yang dikatakan daripada Putra Perdana Sdn Bhd dan SRC international Sdn Bhd, malah pelbagai pihak mula bertanya berhubung akaun berkenaan yang dikatakan menerima duit daripada 1MDB.

"Jho Low kemudian mengarahkan Kok Thiam menyediakan satu surat pengesahan daripada Putera Saud untuk menyatakan wang dimasukkan dalam akaun Najib adalah derma daripada Arab Saudi.

"Selepas itu, saya keluar sekejap bersama Jho Low untuk membuat perbincangan mengenai perkara lain, tetapi apabila masuk semula ke bilik sama, saya melihat Kok Thiam sedang menyiapkan deraf surat derma daripada Putera Saud," katanya.

Jasmine yang membacakan pernyataan saksi berkata, ketika itu deraf berkenaan tidak mempunyai tandatangan lagi dan beliau tidak pasti bila surat itu dihantar kepada Najib.

Kok Thiam yang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki menerima wang daripada dana 1MDB dan SRC International, meninggal dunia disebabkan serangan strok secara tiba-tiba pada 29 Mei 2018.

Jasmine memberikan keterangan terhadap Najib, 70, yang berdepan empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung Jumaat ini.

Berita Harian X