Rabu, 14 Februari 2024 | 5:07pm
 Gambar hiasan
Gambar hiasan

1MDB ditipu masukkan dana ke syarikat palsu

KUALA LUMPUR: Bekas peguam 1Malaysia Development Bhd (1MDB), Jasmine Loo, hari ini, memperincikan bagaimana syarikat pelaburan strategik itu diperdayakan dengan memindahkan AS$576,943,490 ke dalam syarikat luar pesisir palsu dikaitkan dengan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.

Jasmine yang memberikan keterangan sebagai saksi ke-50 pendakwaan berkata, 1MDB melalui anak syarikatnya, 1MDB Energy Limited memeterai perjanjian usaha sama dengan Aabar Investment PJS Abu Dhabi dan syarikat induknya, International Petroleum Investment Co (IPIC) dalam sektor tenaga.

Beliau yang membacakan pernyataan saksi, berkata pada April 2012, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Aabar Investment PJS Abu Dhabi, Mohamad Badawy al Husseiny datang ke Kuala Lumpur dan berjumpa CEO 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi di pejabat 1MDB dan kemudian berjumpa dengannya.

Jasmine berkata, Mohamad Badawy memberitahunya bahawa beliau akan berjumpa Datuk Seri Najib Razak sendiri bersama-sama Jho Low dan memaklumkan segala perjanjian akan dibuat dengan 1MDB adalah menggunakan satu anak syarikat Aabar Investment PJS Abu Dhabi iaitu Aabar Investment PJS Limited.

Katanya, beliau meminta dokumen yang menunjukkan dan mengesahkan ia adalah satu anak syarikat sebagai rujukan dan Mohamad Badawy menyuruhnya berhubung dengan Yvonne Seah daripada BSI Bank Singapore kerana Seah adalah pegawai bank yang membantunya menubuhkan anak syarikat itu.

"Saya menyemak dan mendapatkan dokumen berkaitan daripada Yvonne yang mengesahkan perkara itu, jadi perjanjian Option Agreement dan Collaboration Agreement For Credit Enhancement (CACE) yang saya sediakan adalah merujuk kepada ikatan perjanjian antara 1MDB Energy Limited dengan Aabar Investment PJS Limited," katanya.

Bagaimanapun, dalam perbicaraan sebelum ini, didedahkan bahawa Aabar Investments PJS Limited adalah entiti palsu yang ditubuhkan oleh Jho Low di Seychelles, yang mana entiti sah yang sepatutnya mendapatkan dana itu dipanggil Aabar Investment PJS tanpa 'Limited'.

Jasmine berkata, seingatnya beliau memaklumkan perkara itu kepada Terence Geh (bekas Ketua Pegawai Kewangan 1MDB) kerana beliau yang akan melaksanakan perjanjian dan meminta Terence berhati-hati kerana ada dua nama syarikat yang seakan sama.

"Saya memberitahunya ada dua syarikat dengan nama kelihatan serupa…semua dokumen untuk usaha sama ini kemudian ditandatangani Shahrol Azral pada 21 Mei 2012.

"Berhubung aturan pengiriman wang dan pembayaran AS$576,943,490 daripada 1MDB Energy Ltd kepada Aabar yang palsu, saya tidak pernah mengendalikan sebarang kiriman wang kerana ia tanggungjawab Jabatan Kewangan diketuai Terence pada masa itu," katanya.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung Jumaat ini.

Berita Harian X