Rabu, 14 Februari 2024 | 5:04pm
Anies Baswedan bersama keluarga di TPS) 060 Lebak Bulus, Jakarta Selatan. - BERNAMA
Anies Baswedan bersama keluarga di TPS) 060 Lebak Bulus, Jakarta Selatan. - BERNAMA
Prabowo Subianto dan Anies Rasyid Baswedan (kanan).
Prabowo Subianto dan Anies Rasyid Baswedan (kanan).

Kumpulan 15 wartawan Malaysia saksi proses pemilihan pemimpin baharu Indonesia

JAKARTA: Pilihan raya Indonesia, antara sistem demokrasi terbesar dunia yang berlangsung hari ini dengan sekitar 205 juta penduduk layak mengundi, menjadi antara sistem pemilihan pimpinan paling kompleks.

Ia membabitkan lima kertas undian dan pengiraan rasmi juga dijangka tidak akan diselesaikan dalam tempoh sehari walaupun jumlah undian tidak rasmi dijangka diumumkan sekitar petang waktu tempatan.

Penganalisis sebelum ini menjangkakan jumlah pengundi keluar menunaikan tanggungjawab mereka pada pilihan raya kali ini melebihi Pemilihan Umum Indonesia (PEMILU) 2019, disebabkan republik itu bakal menerima presiden baharu menggantikan Joko Widodo.

BH difahamkan, tempat pemungutan suara (TPS) atau pusat pengundian membenarkan sekitar 200 orang pengundi sahaja dan kebanyakannya berlangsung dalam khemah khas di setiap desa atau kelurahan.

Terdahulu sebelah pagi, pemimpin Indonesia dan calon PEMILU 2024 menunaikan kewajiban mengundi di kampung halaman masing-masing.

Prabowo Subianto mengundi di Hambalang, Bogor, Jawa Tengah. - AFP
Prabowo Subianto mengundi di Hambalang, Bogor, Jawa Tengah. - AFP

Calon nombor 1, Anies Rasyid Baswedan tiba di TPS 60 Jalan Lebak Bulus 2, Kelurahan Cilandak Barat Kacamatan Cilandak Jakarta Selatan sekitar jam 8.20 pagi tadi, dilihat menolak kerusi roda diguna ibunya.

Turut kelihatan, isterinya, Ferry Farhati dan sepasang anak mereka.

Presiden Indonesia, Joko Widodo atau Jokowi mengundi di kampung halamannya di Gambir, Tengah Jakarta, manakala calon nombor 3, Ganjar Pranowo pula di Semarang, juga di Jawa Tengah, tempatnya menjadi gabenor selama 10 tahun.

Calon nombor 2, Prabowo Subianto pula mengundi berhampiran kediamannya di Hambalang, Bogor, Jawa Tengah.

Proses pemilihan kali ini turut diikuti sekumpulan 15 wartawan Malaysia yang menyertai Program Jejak Serumpun Ikatan Setiakawan Malaysia-Indonesia (ISWAMI) Malaysia sempena Pilihan Raya Presiden (PILRES) dan Hari Pers Nasional (HPN) Indonesia.

Prabowo Subianto mengundi di Hambalang, Bogor, Jawa Tengah. - AFP
Prabowo Subianto mengundi di Hambalang, Bogor, Jawa Tengah. - AFP

Seiring dengan kerancakan PILPRES 2024, wartawan Malaysia didedahkan dengan salah satu sistem demokrasi terbesar di dunia dan pelbagai dialog berkaitan pembangunan serta kemajuan Indonesia.

Presiden ISWAMI Malaysia, Ashwad Ismail sebelum ini dilapor berkata, kembara ilmu yang singkat tetapi padat ini bukan sahaja memberi pendedahan kepada pesta demokrasi, tetapi juga pertemuan dan dialog.

Katanya, program ini juga akan membina keakraban bersama penggiat kewartawanan Indonesia sewaktu sambutan HPN.

"Kembara ilmu ini dilihat juga akan menjadi pertemuan dan dialog dengan mereka yang menjadi cerminan kepada kehebatan Indonesia, contohnya pemain industri 'fintech' ekonomi digital, sektor pembangunan lestari serta keupayaan mereka merakyatkan teknologi hijau.

"Dalam lanskap geopolitik dunia yang kian mencabar ini, wartawan Malaysia juga perlu didedahkan dengan usaha-usaha diplomasi 'Track 2' oleh pelbagai institut dan badan bukan kerajaan (NGO) di Indonesia yang mengangkat agenda kebersamaan antara rakyat di pentas Asean serta internasionalisme yang positif," katanya .

Program Jejak Serumpun ini ditaja oleh Berjaya Corporation Berhad, Green Growth Asia Foundation dan VFive Group.

Kumpulan wartawan Malaysia akan mengikuti beberapa siri lawatan dan pertemuan bersama ISWAMI Indonesia yang diketuai presidennya, Asro Kamal Rokan dan mengadakan pertemuan bersama pimpinan media Indonesia serta agensi penting dalam mengukuhkan lagi kebersamaan dua negara serumpun.

Selain itu, ketua-ketua pengarang dari Malaysia akan turut menyertai delegasi ISWAMI ke program HPN 2024, acara tahunan yang mengumpulkan lebih 6,000 wartawan dari seluruh Indonesia.

Secara tradisinya, ISWAMI Malaysia dijemput menghadiri HPN setiap tahun yang diadakan di kota-kota berlainan setiap tahun. HPN disambut 9 Februari setiap tahun tetapi sambutannya ditunda kepada 20 Februari ini berikutan berlangsungnya PILPRES 2024.

ISWAMI adalah forum wartawan Malaysia-Indonesia yang ditubuhkan pada 2003 sebagai jambatan kepada hubungan media Malaysia dan Indonesia yang berperanan membina kemakmuran kedua-dua negara.

Berita Harian X