Rabu, 14 Februari 2024 | 4:49pm
Calon Presiden Indonesia 2024, Anies Rasyid Baswedan
Calon Presiden Indonesia 2024, Anies Rasyid Baswedan

Hubungan perdagangan, manusiawi Indonesia-Malaysia akan terus diperkukuh - Anies Rasyid

JAKARTA: Indonesia akan kekal mengukuhkan hubungan dengan Malaysia melalui kerjasama dua hala lebih akrab, kata calon Presiden republik itu pada Pemilihan Umum Indonesia (PEMILU) 2024, Anies Rasyid Baswedan.

Beliau yang menjadi calon No.1 berkata, hubungan dua hala antara dua negara tidak sekadar harus mencukupi, tetapi dipertingkatkan dari semasa ke semasa.

Katanya, Indonesia ketika ini begitu bersyukur dengan hubungan baik dengan Malaysia dan ia perlu dipertingkatkan menerusi hubungan perdagangan dan manusiawi.

"Hubungan kita ini sangat baik dan harus dipertahankan bukan saja pada peringkat kerajaan (G2G) tetapi juga perniagaan (B2B) yang mana lebih banyak kegiatan perdagangan membabitkan pengusaha Indonesia dan Malaysia.

"Selain itu, kita juga perlu meningkatkan hubungan manusiawi membabitkan pelbagai perkara termasuk berkaitan kebudayaan dan sosial.

"Pada masa depan, kita perlu melihat hubungan lebih baik antara kedua-dua negara," katanya dalam temubual eksklusif kepada kumpulan 15 media yang menyertai Program Jejak Serumpun Ikatan Setiakawan Malaysia-Indonesia (ISWAMI) Malaysia, sempena Pilihan Raya Presiden (PILPRES) dan PEMILU 2024, hari ini.

Mengulas mengenai PEMILU 2024, Anies Rasyid optimis akan melepasi pusingan pertama pemilihan itu.

"Bagaimanapun, kita harus tunggu sekitar jam 6 petang ini, walaupun ia belum belum mencerminkan sesungguhnya keputusan PEMILU itu," katanya yang mengakui beberapa faktor penting mempengaruhi pengundi Indonesia.

Menyentuh mengenai dakwaan berlaku ketidakpatuhan undian PEMILU 2024 di luar negara, beliau berkata, perkara itu sudah diketahui badan penguatkuasa pilihan raya dan tindakan segera akan dilakukan.

"Insya-Allah kita akan perbetulkan apa saja dakwaan kecurangan yang terjadi," katanya.

Anies Rasyid turut mengulas mengenai perpindahan ibu negara Indonesia dari Jakarta ke Kalimantan yang sebelum ini ditolak keras olehnya dan beliau berkata, kerajaan harus mengutamakan rakyat sebelum membina kota yang hanya diduduki ahli politik dan birokrat saja.

"Apabila Jerman mengubah ibu negara Borne ke Berlin, Turkiye dari Istanbul ke Angkara, mereka tidak membina kota dari asal tetapi Indonesia mahu mengubah ibu negara dengan membina sebuah kota baharu.

"Seterusnya siapa yang akan tinggal di sana…ahli politik dan birokrat. Namun penduduk tidak mempunyai tempat tinggal dan kerajaan juga perlu membina kemudahan asas seperti sekolah dan semuanya. Duit dilaburkan itu boleh digunakan untuk rakyat di sini," katanya.

Beliau berkata, walaupun ada fakta mengenai Jakarta bakal tenggelam, namun Indonesia perlu melihat negara lain seperti Jepun yang mana Tokyo juga mengalami keadaan sama.

Berita Harian X