Rabu, 14 Februari 2024 | 3:35pm
Jasmine Loo (kiri) dan Jho Low.
Jasmine Loo (kiri) dan Jho Low.

'Jho Low beritahu jangan risau selepas saya tanya kenapa banyak duit dimasukkan dalam akaun Najib'

KUALA LUMPUR: Bekas peguam 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Jasmine Loo memberitahu Mahkamah Tinggi, hari ini, bahawa Jho Low memintanya tidak risau selepas beliau membangkitkan isu begitu banyak wang dipindah masuk ke dalam akaun bank peribadi Datuk Seri Najib Razak.

Jasmine, 50, yang memberikan keterangan sebagai saksi pendakwaan ke-50, berkata ahli perniagaan dalam buruan itu atau nama sebenarnya Low Taek Jho, menyuruhnya jangan risau dan memberitahu tidak perlu mengambil apa-apa tindakan kerana akan menguruskan segala-galanya.

"Jho Low juga menyatakan sekiranya apa-apa terjadi kepadanya, dia mempunyai bukti menunjukkan apa yang dilakukan olehnya adalah mengikut permintaan, kehendak dan dalam pengetahuan Najib," katanya.

Terdahulu, Jasmine berkata, Jho Low memberitahunya, wang yang dimasukkan ke dalam akaun Najib adalah untuk dana politik Barisan Nasional (BN) khususnya UMNO ketika beliau (saksi) membangkitkan mengapa perlunya sebegitu banyak wang dimasukkan ke dalam akaun bekas perdana menteri itu.

Beliau berkata, selepas didesak dan ditanya berulang kali berkenaan transaksi (pindahan wang) berkenaan, Jho Low menyuruhnya tidak risau berhubung perkara itu.

Katanya, beliau tidak tahu wang deposit sekuriti berjumlah RM576,943,490 dan RM790,354,855 dimasukkan daripada akaun Aabar Investment PJS Limited (BVI) ke dalam akaun Blackstone Asia Real Estate milik Tan Kim Loong (sekutu Jho Low), seterusnya dimasukkan ke dalam akaun lain termasuk akaun Najib ketika transaksi itu dilaksanakan.

"Saya hanya mengetahui mengenai semua transaksi berkenaan melalui media dan laporan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) pada 2015 dan 2016.

"Selepas mengetahuinya, saya bertanya Jho Low apa sebenarnya yang berlaku. Beliau menyatakan semuanya adalah sah yang mana transaksi dibuat disokong perjanjian seperti promissory notes, tetapi Jho Low tidak memberi saya butiran dan tidak menjelaskan lebih lanjut.

"Pada kepercayaan saya pada masa itu, arahan yang diberikan oleh Jho Low untuk pelaksanaan arahan di 1MDB adalah selari dengan kehendak Najib.

"Kepercayaan saya ini berasaskan kepada insiden Jho Low ada meminta saya menyediakan dokumen untuk ditandatangani oleh Najib dan saya dapati ia akan dipulangkan lengkap dengan tandatangan beliau.

"Jho Low ada juga meminta saya menyediakan status projek atau 'talking points' untuk dia memaklumkan perkembangan semasa kepada Najib," katanya.

Berita Harian X