Rabu, 14 Februari 2024 | 3:17pm
Berdasarkan pemantauan KKM, sebanyak 45 atau 5.85 peratus sampel madu daripada 769 produk yang diperiksa sejak 2016 hingga kini tidak mematuhi standard ditetapkan mengikut Peraturan-Peraturan Makanan 1985.
Berdasarkan pemantauan KKM, sebanyak 45 atau 5.85 peratus sampel madu daripada 769 produk yang diperiksa sejak 2016 hingga kini tidak mematuhi standard ditetapkan mengikut Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

KKM guna kaedah isotop, variasi unsur kimia tentukan ketulenan madu

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) bekerjasama dengan Agensi Nuklear Malaysia dan Jabatan Pertanian bagi menentukan ketulenan madu menggunakan teknik terkini.

Menurut kenyataan KKM, tindakan itu dilakukan bagi menangani penjualan produk madu tidak mematuhi standard yang ditetapkan mengikut Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

Mengulas lanjut katanya, teknik terkini ialah dengan penggunaan kaedah isotop, iaitu antara variasi unsur kimia, sebagaimana disarankan standard makanan antarabangsa, Codex.

Sijil Makanan Autentik tentukan ketulenan produk makanan

"Selain itu, KKM turut menawarkan Skim Pensijilan Makanan Autentik bagi memberikan pengiktirafan produk makanan yang disahkan tulen dan memenuhi kriteria ditetapkan dalam skim pensijilan ini.

"Ini termasuklah produk madu, daging, kopi dan sarang burung walit. Hingga kini, tujuh syarikat sudah memperoleh Pensijilan Autentik untuk produk madu dari KKM," kata kenyataan KKM itu.

Pesara, Mohd Nashir Yaacob, 62, menjadikan kemahiran menternak kelulut sejak 2012 sebagai pendapatan sampingan yang dijalankan di sekeliling rumahnya di Kampung Che Arus, Kok Lanas Kota Bharu. - foto fail BERNAMA
Pesara, Mohd Nashir Yaacob, 62, menjadikan kemahiran menternak kelulut sejak 2012 sebagai pendapatan sampingan yang dijalankan di sekeliling rumahnya di Kampung Che Arus, Kok Lanas Kota Bharu. - foto fail BERNAMA

Sebelum ini BH melaporkan industri madu negara termasuk madu kelulut berdepan cabaran kehadiran produk tiruan yang didakwa mencecah 90 peratus.

Pensyarah Kanan Jabatan Neurosains, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Mohd Zulkifli Mustafa, dilaporkan berkata madu tiruan adalah cabaran terbesar dihadapi industri ketika ini.

Di Malaysia, madu diklasifikasikan berdasarkan spesies lebah yang menghasilkannya iaitu madu yang dihasilkan lebah madu apis dorsata atau madu kelulut yang dihasilkan 'stingless bee'.

6 peratus tak patuhi standard kandungan madu sejak 2016 hingga kini

Pada masa sama, menurut KKM, berdasarkan pemantauan pihaknya, sebanyak 45 atau 5.85 peratus sampel madu daripada 769 produk yang diperiksa sejak 2016 hingga kini tidak mematuhi standard ditetapkan mengikut Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

Katanya, tindakan penguatkuasaan sudah diambil ke atas syarikat dan produk berkenaan melalui pemantauan yang dijalankan dalam Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM).

"Berdasarkan Peraturan 130, Peraturan-Peraturan Makanan 1985, produk madu perlu mengikut standard yang ditetapkan antaranya mengandungi tidak kurang daripada 60 peratus gula penurunan.

"Selain itu, ia juga perlu mempunyai kandungan sukrosa tidak lebih daripada 10 peratus dan tidak boleh mengandungi hydroxymethylfurfural (HMF) lebih daripada 80 mg/kg," katanya.

Menurut KKM, Seksyen 13(2)(e) pula memperuntukkan tiada seorangpun boleh menyediakan atau menjual apa-apa makanan yang diadukkan jika tidak mematuhi standard atau spesifikasi ditetapkan oleh mana-mana peraturan yang dibuat mengikut akta terbabit.

Seseorang yang didapati melanggar peruntukan ini dan apabila disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

Hanya beli produk jika ada logo Autentik, MeSTI, GMP dan HACCP dari KKM

KKM sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara yang boleh mengancam kesihatan pengguna, maka mereka disaran membaca label dan memilih produk makanan yang mempunyai logo Program Jaminan Keselamatan Makanan (PJKM) seperti Autentik, MeSTI, GMP dan HACCP dari KKM.

"Sebarang kemusykilan berhubung isu keselamatan makanan, pengguna boleh menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau melalui laman sesawang http://moh.spab.gov.my atau facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) www.facebook.com/bkkmhq," katanya.

Logo Autentik Kementerian Kesihatan Malaysia.
Logo Autentik Kementerian Kesihatan Malaysia.

Berita Harian X