Rabu, 14 Februari 2024 | 2:26pm
Anggota Biro Siasatan Kemalangan Trafik Udara (BSKU) melakukan kerja mengeluarkan serpihan pesawat ringan model BK 160 Gabriel yang terhempas di Kampung Tok Muda, Kapar, Klang. NSTP/FAIZ ANUAR
Anggota Biro Siasatan Kemalangan Trafik Udara (BSKU) melakukan kerja mengeluarkan serpihan pesawat ringan model BK 160 Gabriel yang terhempas di Kampung Tok Muda, Kapar, Klang. NSTP/FAIZ ANUAR

Kerja keluarkan sisa serpihan pesawat terhempas selesai

KLANG: Kerja mengeluarkan sisa serpihan pesawat ringan model BK 160 Gabriel yang terhempas di Kampung Tok Muda, Kapar semalam selesai petang ini.

Berdasarkan tinjauan di lokasi, serpihan pertama iaitu bahagian sayap pesawat dibawa keluar dari lokasi berdekatan ke Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) pada jam 10.30 pagi.

Sejurus itu, sebuah jengkaut masuk ke lokasi pesawat terhempas bersama petugas Biro Siasatan Keselamatan Udara (BSKU) dan mengeluarkan sisa serpihan termasuk enjin pesawat yang dilihat bersalut dengan tanah.

Serpihan pesawat itu kemudian dikumpulkan dalam sebuah lori dan dibawa ke sebuah hangar berdekatan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) Subang untuk siasatan pada kira-kira jam jam 1.05 tengah hari.

Dalam kejadian tengah hari semalam, juruterbang dan pembantu juruterbang maut selepas pesawat ringan itu terhempas di Kampung Tok Muda, Kapar.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao dalam kenyataan mengesahkan dua mangsa terkorban dalam insiden berkenaan adalah juruterbang, Daniel Yee Hsiang Khoon, 31 dan Roshaan Singh Raina,43 berdasarkan cap jari mereka.

"Bedah siasat yang dijalankan bermula jam 10 pagi tadi di Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang mendapati punca kematian adalah disebabkan pelbagai kecederaan akibat pesawat terhempas," katanya.

Berita Harian X