Rabu, 14 Februari 2024 | 1:51pm

Pelbagai kecederaan akibat pesawat terhempas punca kematian 2 juruterbang

KLANG: Pelbagai kecederaan dikenal pasti menjadi punca kematian juruterbang dan pembantu juruterbang pesawat ringan model BK 160 Gabriel yang terhempas di Kampung Tok Muda, Kapar, di sini, tengah hari semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao, berkata dapatan itu diperoleh hasil proses bedah siasat terhadap dua mangsa berkenaan bermula kira-kira jam 10 pagi hingga jam 12 tengah hari tadi.

"Hasil bedah siasat dilakukan Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) mendapati punca kematian dua mangsa terbabit disebabkan pelbagai kecederaan akibat kemalangan pesawat.

"Selain itu, pemeriksaan terhadap cap jari mangsa turut mengesahkan identiti mereka sebagai Daniel Yee Hsiang Khoon, 31, dan Roshaan Singh Raina, 43," katanya di perkarangan Jabatan Perubatan Forensik Hospital Tuanku Ampuan Rahimah, di sini, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan pesawat ringan model BK 160 Gabriel terhempas di Kampung Tok Muda, Kapar, di sini, tengah hari semalam.

Nahas itu mengorbankan juruterbang dan pembantu juruterbang pesawat berkenaan yang ditemui dalam kokpit pesawat yang terjunam lebih dua meter ke dalam tanah.

Vijaya Rao berkata, punca nahas pesawat itu masih dalam siasatan Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU).

"Pihak kami akan menyerahkan mayat dua mangsa kepada waris dalam masa terdekat dan kita akan cuba yang terbaik bagi membantu waris membawa mayat mangsa untuk dikebumikan.

"Setakat ini, kami tidak dimaklumkan oleh waris mengenai lokasi pengebumian mangsa," katanya.

Vijaya Rao berkata, pihaknya sudah mengambil keterangan lima orang awam yang menyaksikan kejadian itu setakat hari ini.

"Kami nasihatkan orang ramai supaya tidak menularkan sebarang gambar mahupun video nahas itu terutama di lokasi kejadian bagi menjaga sensitiviti keluarga mangsa," katanya.

Mengulas siasatan di lokasi kejadian, beliau berkata, pihaknya akan bekerjasama dan membantu BSKU menjalankan siasatan.

"Barangan yang dilihat dibawa keluar dari lokasi kejadian adalah barang kes yang perlu dihantar ke Jabatan Kimia (untuk pemeriksaan).

"Berkaitan isu pesawat itu tiada kotak hitam, ia adalah perkara teknikal yang perlu dirujuk kepada pihak BSKU," katanya.

Waris keluarga dua juruterbang yang hadir bagi pengecaman mayat di Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah, hari ini. NSTP/ GENES GULITAH
Waris keluarga dua juruterbang yang hadir bagi pengecaman mayat di Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah, hari ini. NSTP/ GENES GULITAH
Berita Harian X