Rabu, 14 Februari 2024 | 1:24pm
 Presiden Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM), Badlishah Sham Baharin
Presiden Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM), Badlishah Sham Baharin

Penghakiman Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 tak ancam kedudukan Islam - IKRAM

KUALA LUMPUR: Semua pihak digesa berhenti mensensasikan penghakiman Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 dengan memomokkan ia sebagai ancaman kepada kedudukan Islam atau sejarah hitam kepada undang-undang syariah di negara ini.

Presiden Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM), Badlishah Sham Baharin, berkata ini kerana dakwaan itu tidak benar sama sekali,

sebaliknya penghakiman itu sebenarnya boleh menjadi pemangkin untuk semua pihak mengemas kini dan memperkasakan undang-undang syariah sedia ada serta yang akan digubal kelak supaya selari dengan Perlembagaan.

"Keputusan itu hanya menjelaskan sempadan had kuasa Badan Perundangan Negeri Kelantan dalam menggubal undang-undang syariah dan bukannya kerana Mahkamah Persekutuan menentang undang-undang syariah.

"Justeru, IKRAM mahu semua pemegang taruh dan semua pihak yang mempunyai kepentingan termasuk ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang meneliti penghakiman kes itu secara positif.

"Gesaan sama juga diberi kepada kerajaan, Parlimen, Dewan Undangan Negeri (DUN), Jabatan Kemajuan Agama Islam (JAKIM), Majlis Agama Islam Negeri dan semua pihak yang mempunyai kepentingan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Jumaat lalu, Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan 16 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 adalah terbatal dan tidak sah.

Panel sembilan hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat dalam keputusan majoriti 8 -1 memutuskan demikian selepas membenarkan petisyen peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya selaku pempetisyen bagi mencabar peruntukan enakmen itu.

Mahkamah Persekutuan memutuskan 17 peruntukan kesalahan dalam Enakmen Kanun Syariah Jenayah (I) 2019 adalah batal dan tidak sah kerana inti pati peruntukan itu berkenaan undang-undang jenayah yang menjadi bidang kuasa Parlimen dan bukannya DUN.

Susulan itu, banyak pihak tampil memberikan maklum balas terhadap perkembangan terbabit termasuk Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mendakwa beberapa perbuatan bertentangan hukum Islam tidak lagi menjadi kesalahan di Kelantan.

Pada masa sama, Badlishah berkata, keputusan itu amat penting dalam membantu DUN mengemas kini dan menggubal undang-undang syariah kerana pentafsirannya sudah jelas.

Malah, katanya, ia juga akan membantu Parlimen melakukan sebarang pindaan perlu kepada Perlembagaan bagi membantu memperkasakan lagi pelaksanaan dan penguatkuasaan undang-undang syariah di Malaysia.

"IKRAM memuji inisiatif awal kerajaan menjunjung titah Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI), Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam menubuhkan Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi DUN untuk Menggubal Undang-Undang Islam pada Disember 2023.

"IKRAM yang dianggotai ramai ahli berlatarbelakangkan pengajian dalam undang-undang dan syariah sedia menawarkan khidmat bagi merealisasikan usaha pemerkasaan undang-undang syariah selari dengan visi Malaysia negara rahmah," katanya.

Berita Harian X