Rabu, 14 Februari 2024 | 12:54pm
Bekas peguam 1MDB, Jasmine Loo. - Foto Fail NSTP
Bekas peguam 1MDB, Jasmine Loo. - Foto Fail NSTP

'Saya serah dokumen pelaburan 1MDB kepada Jho Low di depan pintu rumah Najib'

KUALA LUMPUR: Bekas peguam 1Malaysia Development Berhad (1MDB) memberitahu Mahkamah Tinggi, hari ini, beliau menyerahkan sendiri dokumen berkaitan pelaburan syarikat kepada Low Taek Jho atau Jho Low di depan pintu kediaman Datuk Seri Najib Razak untuk mendapatkan tandatangan bekas perdana menteri itu.

Saksi pendakwaan ke-50, Jasmine Loo, berkata ada satu ketika ahli perniagaan dalam buruan itu sudah berada di hadapan pintu pagar Najib dan mengambil dokumen berkenaan daripadanya serta mengarahkannya menunggu di luar saja.

Jasmine,50, yang menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Deepa Nair Thevaharan, pada sesi pemeriksaan utama berkata, pada setiap kali urusan, serahan dokumen pemegang saham keutamaan 1MDB dan Minit Wakil Syarikat Induk pada 2012 dan 2013, beliau tidak pernah memasuki kediaman Najib.

Disoal lanjut sama ada beliau berjaya mendapatkan tandatangan Najib pada setiap kali urusan berkenaan, saksi itu menjawab, "ya."

Terdahulu, ketika membacakan pernyataan saksinya, Jasmine berkata, kedua-dua dokumen itu yang disediakannya akan dicetak dan dimasukkan ke dalam sebuah fail plastik dan akan diserahkan sendiri kepada Jho Low di mana-mana yang diarahkan termasuk di pintu kediaman Najib di Langgak Duta, Kuala Lumpur.

Datuk Seri Najib Razak diiringi pegawai penjara tiba di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Datuk Seri Najib Razak diiringi pegawai penjara tiba di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Saksi itu berkata, jika tidak diserahkan sendiri kepada lelaki itu, beliau akan memberi fail berkenaan kepada mana-mana individu yang diarahkan oleh Jho Low dan individu terbabit akan menyerahkannya kepada ahli perniagaan itu untuk memperoleh tandatangan Najib.

"Selepas saja Jho Low memperoleh tandatangan Najib, dia akan menyerahkan dokumen berkenaan kepada saya sendiri atau kepada mana-mana individu untuk diberikan kepada saya.

"Sekiranya ia tidak diserahkan kepada saya, Jho Low akan menghantar pesanan kepada saya melalui BBM (mesej) untuk memastikan dokumen ini diserahkan kepada pejabat 1MDB untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Sementara itu, Jasmine berkata, di 1MDB terdapat amalan 'Chinese Wall' yang mana setiap bahagian hanya membuat kerja mereka sendiri dalam kotak masing-masing dan tidak boleh campur tangan dalam hal ehwal bahagian lain.

Katanya, beliau tidak tahu berkenaan hal ehwal kewangan melainkan apa yang diceritakan atau apa-apa yang perlu dimaklumkan dalam sesuatu projek.

Beliau berkata, dalam urusan berkenaan secara spesifik, beliau tidak terbabit dalam penyediaan transaksi kewangan dan hanya berperanan dalam menyediakan dokumen perjanjian.

Jasmine memberikan keterangan terhadap Najib, 70, yang menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung petang ini.

Berita Harian X