Rabu, 14 Februari 2024 | 11:12am
Ujian darah dan urin secara berkala adalah sangat penting bagi mengelakkan risiko penyakit buah pinggang kronik. - Foto Hiasan
Ujian darah dan urin secara berkala adalah sangat penting bagi mengelakkan risiko penyakit buah pinggang kronik. - Foto Hiasan

Ujian awal elak diabetes melarat

PENYAKIT diabetes atau kencing manis adalah keadaan di mana tubuh seseorang itu gagal memproses gula atau glukosa dalam darah dengan berkesan.

Keadaan ini akan mengakibatkan kerosakan pada salur darah manusia sekali gus menjejaskan fungsi organ-organ yang lain.

Kebiasaannya, penyakit ini sering kali dikaitkan dengan warga emas atau mereka yang memiliki berat badan berlebihan dan mereka yang mempunyai sejarah keluarga dengan penyakit kencing manis.

Namun begitu, kebanyakan pesakit kencing manis tidak sedar akan kewujudan penyakit ini kerana majoriti daripada mereka tidak menunjukkan simptom seperti kerap kencing, dahaga, luka lambat sembuh, kelesuan serta penurunan berat badan secara tiba-tiba.

Justeru, setiap individu harus mempunyai kesedaran tentang faktor risiko dan simptom diabetes untuk mengelakkan penyakit ini melarat. 

Jenis diabetes

Terdapat dua jenis diabetes yang biasaanya dikesan pada pesakit iaitu diabetes jenis satu dan jenis dua.

Diabetes jenis satu adalah penyakit autoimun di mana sistem imun menyerang dan memusnahkan sel penghasil insulin dalam pankreas. 

Diabetes jenis dua pula berlaku apabila sel-sel dalam otot, lemak, dan hati tidak bertindak balas dengan berkesan terhadap insulin.

Berbanding dengan diabetes jenis satu, diabetes jenis dua boleh dirawat dengan ubat-ubatan dalam bentuk pil atau gabungan dengan rawatan insulin.

Diabetes jenis dua paling biasa ditemui di kalangan rakyat Malaysia dan lebih 90 peratus daripadanya adalah penghidap jenis berkenaan.

Golongan berisiko mendapat diabetes 

Terdapat kajian yang menunjukkan kira-kira 3,899,940 atau 18.3 peratus daripada populasi dewasa di Malaysia menghidap diabetes1.

Pakar Perunding Nefrologi dan Pakar Perubatan Dalaman di Pusat Perubatan Sunway Velocity, Dr Radzi Rodzlan.

Pakar Perunding Nefrologi dan Pakar Perubatan Dalaman daripada Pusat Perubatan Sunway Velocity, Dr Radzi Rodzlan berkata, peratusan ini didorong oleh tabiat pemakanan yang tidak seimbang serta gaya hidup yang tidak aktif.

Selain itu, penyakit diabetes juga boleh didorong melalui faktor genetik.

Ini bermakna, individu yang mempunyai sejarah keluarga dengan penyakit diabetes turut mempunyai risiko tinggi untuk mendapat penyakit ini.

Oleh itu, pemilihan gaya hidup yang sihat bagi mereka yang mempunyai sejarah keluarga atau sedang menghidap penyakit diabetes adalah sangat penting bagi mengelakkan daripada penyakit ini melarat.

Risiko penyakit kronik 

Dr Radzi turut menegaskan bahawa diabetes juga boleh mendorong kepada penyakit kronik lain terutamanya penyakit buah pinggang kronik, strok, masalah jantung dan juga masalah mati pucuk.

Difahamkan, satu daripada tiga pesakit diabetes menderita penyakit buah pinggang kronik akibat diabetes. 

"Penyakit buah pinggang kronik biasanya melarat secara berperingkat dan gejala yang dialami mungkin tidak disedari  atau tiada pada peringkat awal, menyebabkan ramai individu tidak menyedari bahawa mereka mempunyai penyakit ini sehingga ia mencapai tahap yang serius."

"Keadaan ini akan menyebabkan pesakit memerlukan rawatan seperti dialisis atau pemindahan buah pinggang." 

"Justeru, ujian darah dan urin secara berkala adalah sangat penting bagi mengelakkan risiko penyakit buah pinggang kronik," katanya kepada BH baru-baru ini.

Jelasnya, pengesanan awal juga dapat membantu pesakit menerima rawatan yang tepat dan berkesan sekali gus membantu mencegah komplikasi lanjut. 

Ia juga bagi memantau tahap kawalan penyakit dan mengurus kesihatan buah pinggang pesakit diabetes secara keseluruhan.

"Mereka yang sedang menghidapi  penyakit ini pula disarankan agar melakukan ujian kesihatan secara berkala termasuk ujian fungsi buah pinggang sebagai sebahagian daripada pelan pengurusan diabetes mereka," katanya.

Selain itu, pesakit turut disaran agar mendapatkan konsultasi daripada doktor pakar bagi mengetahui tahap  kesihatan mereka secara keseluruhan, termasuk fungsi buah pinggang dan cara mengekalkan paras  gula dalam darah yang optimum.

Ia penting bagi mencegah atau melambatkan komplikasi kesihatan termasuk risiko mendapat penyakit buah pinggang kronik. 

Tambah Dr Radzi, individu yang mempunyai sejarah keluarga juga perlu mengamalkan gaya hidup sihat termasuk mengekalkan diet seimbang yang kaya dengan buah-buahan, sayur-sayuran dan bijirin penuh, melakukan aktiviti fizikal, menguruskan tekanan dengan baik serta mengelakkan tabiat merokok. 

Ia bukan sahaja dapat membantu mencegah diabetes tetapi juga dapat menyumbang kepada kesejahteraan mental dan fizikal  secara menyeluruh. 

 

Rujukan:
https://www.thestar.com.my/news/nation/2023/11/30/almost-20-of-malaysian-adults-have-diabetes-says-dr-zaliha

Berita Harian X