Rabu, 14 Februari 2024 | 8:46am

Keperluan mendesak bantu rakyat serap kenaikan kos sara hidup

BERADA pada bulan kedua tahun ini, sukar untuk menafikan kehidupan rakyat hari ini masih bergelut dengan kenaikan harga barang keperluan, sekali gus meningkatkan perbelanjaan mingguan dan bulanan isi rumah.

Antara faktor penarik kenaikan harga barang keperluan ini adalah subsidi berkurangan bagi pelbagai barangan asas, aktiviti manipulasi harga dan nilai mata wang ringgit semakin lemah.

Kesemua faktor ini menyebabkan rakyat perlu membayar lebih ketika berbelanja. Hari ini, bekalan barang keperluan seperti beras, telur, ayam dan daging dilaporkan masih terkawal namun harganya dilihat menjerut pengguna. Contohnya selepas subsidi ayam ditarik, harganya sering mencecah RM9.50 sekilogram (kg).

Kesan rantaian yang berlaku akibat harga meningkat menyebabkan peniaga makanan tiada pilihan lain kecuali terpaksa mengalihkan kenaikan kos ini kepada pelanggan. Bermaksud pengguna terpaksa membayar lebih.

Ditambah pula dengan nilai ringgit merosot ketika ini, manakala gaji pekerja sektor swasta tidak berubah secara ketara sejak sebelum pandemik COVID-19, kini pengguna tiada pilihan melainkan berjimat cermat ketika berbelanja.

Namun persoalannya, sampai bila rakyat dan pengguna terpaksa menanggung beban kenaikan harga barang keperluan ini dan pada masa sama berdepan pula masalah kekurangan bekalan.

Antara faktor penarik kenaikan harga barang keperluan adalah subsidi berkurangan bagi pelbagai barangan asas, aktiviti manipulasi harga dan nilai mata wang ringgit semakin lemah. - Foto hiasan
Antara faktor penarik kenaikan harga barang keperluan adalah subsidi berkurangan bagi pelbagai barangan asas, aktiviti manipulasi harga dan nilai mata wang ringgit semakin lemah. - Foto hiasan

Peningkatan harga barang keperluan ini secara tidak langsung akan meningkatkan kos sara hidup rakyat termasuk golongan M40, apatah lagi kelompok B40.

Antara penyelesaian jangka panjang dicadangkan pakar ekonomi bagi menangani masalah peningkatan kos sara hidup adalah dengan menaikkan kadar pendapatan atau gaji pekerja dalam negara.

Namun, proses pemulihan ekonomi pasca pandemik dilihat menyukarkan syarikat menaikkan gaji pekerja manakala kenaikan kadar gaji minimum RM1,500 sebulan dilihat masih gagal mengimbangi pendapatan rakyat dengan kos sara hidup tinggi ketika ini.

Bahkan, di sebalik kenaikan kadar gaji minimum ini, ada peniaga mengambil kesempatan menaikkan harga barang dengan menggunakan alasan terpaksa menampung kenaikan kos ditetapkan pengilang dan peruncit.

Sementara itu, mulai 1 Mac ini, Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dinaikkan kepada lapan peratus, maka sukar untuk menafikan ia bakal memberi kesan kepada kewangan pengguna.

Golongan M40 pula dijangka paling terjejas akibat kenaikan SST kerana golongan B40 akan layak menerima pelbagai bantuan, manakala golongan T20 mempunyai kedudukan kewangan lebih stabil.

Pelarasan semula subsidi elektrik di samping kenaikan caj bekalan air terawat mulai bulan ini juga dijangka mempengaruhi kekuatan kewangan pengguna pada bulan mendatang.

Tanpa prejudis, wujud keperluan mendesak bagi kerajaan untuk mencari jalan penyelesaian jangka pendek, sederhana dan panjang untuk membantu rakyat menyerap beban kenaikan kos sara hidup hari ini dan masa akan datang.

Berita Harian X