Selasa, 13 Februari 2024 | 7:25pm

Pesawat terbenam 2 meter, juruterbang dan pembantu maut

KLANG: Polis Selangor mengesahkan juruterbang dan pembantu juruterbang terkorban dalam nahas pesawat ringan model BK 160 Gabriel yang terhempas di Kampung Tok Muda, Kapar tengah hari tadi.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata mayat kedua-dua mangsa lelaki warga tempatan ditemui di bahagian kokpit yang terbenam lebih dua meter dalam tanah.

Mayat dua mangsa berkenaan dikeluarkan dari lokasi nahas jam 8.10 malam tadi dan dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk bedah siasat.

"Mangsa yang terbabit adalah Daniel Yee Hsiang Khoon, 30, dan Roshaan Singh Raina, 42," katanya dalam sidang media di lokasi kejadian sebentar tadi.

Yang turut hadir, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Selangor, Wan Md Razali Wan Ismail.

Sebuah pesawat ringan terhempas di Kampung Tok Muda, Kapar hari ini. - Foto JPBM Selangor
Sebuah pesawat ringan terhempas di Kampung Tok Muda, Kapar hari ini. - Foto JPBM Selangor

Pesawat ringan terhempas di kawasan berhampiran Sekolah Kebangsaan Tok Muda, Kapar, Klang semalam. Mayat dua mangsa ditemui dalam kokpit yang terbenam 1.52 meter dalam tanah. - Foto JBPM Selangor
Pesawat ringan terhempas di kawasan berhampiran Sekolah Kebangsaan Tok Muda, Kapar, Klang semalam. Mayat dua mangsa ditemui dalam kokpit yang terbenam 1.52 meter dalam tanah. - Foto JBPM Selangor

Pasukan penyelamat berdepan kesukaran untuk mengeluarkan kedua-dua mayat mangsa dan terpaksa menggunakan jengkaut Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK).

"Sukar sebab terbenam, tidak boleh korek sembarangan, ...lokasi itu dalam kawasan kelapa sawit," katanya sambil menambah serpihan pesawat terbabit tersebar dalam lingkungan 50 meter.

Dalam pada itu katanya, siasatan akan dijalankan oleh Bahagian Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) dan polis akan membuka kertas siasatan di bawah Kertas Enkuiri Polis (KEP) dan Kematian Mengejut.

Seramai 150 anggota pelbagai agensi terbabit dalam usaha mengeluarkan mayat mangsa.

Terdahulu, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengesahkan terdapat dua penumpang termasuk seorang juruterbang dalam pesawat yang terhempas.

Ketua Pegawai Eksekutif CAAM, Datuk Kapten Norazman Mahmud, berkata pesawat ringan model BK 160 Gabriel dengan nombor pendaftaran I-POOC dikendalikan Air Adventure Flying Club.

Pesawat dalam penerbangan rekreasi

Anggota Bomba dan Penyelamat membawa peralatan untuk operasi mencari mangsa yang terlibat dalam kejadian sebuah pesawat ringan yang terhempas di Kampung Tok Muda Kapar, hari ini. - Foto BERNAMA
Anggota Bomba dan Penyelamat membawa peralatan untuk operasi mencari mangsa yang terlibat dalam kejadian sebuah pesawat ringan yang terhempas di Kampung Tok Muda Kapar, hari ini. - Foto BERNAMA

Pesawat itu berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang pada jam 1.28 tengah hari bagi penerbangan rekreasi.

"Hubungan terakhir pesawat dengan pegawai kawalan trafik udara dilaporkan pada jam 1.35 tengah hari, namun tiada panggilan kecemasan diterima," katanya dalam kenyataan.

Susulan itu, Norazman berkata, Pusat Koordinasi Menyelamat Aeronautikal Kuala Lumpur (KLARCC) di Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC) diaktifkan serta-merta untuk mengenal pasti lokasi pesawat.

"Siasatan lanjut akan dilaksanakan Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) di bawah Kementerian Pengangkutan mengikut Bahagian XXVI Peraturan-peraturan Penerbangan Awam 2016," katanya.

Sebuah pesawat ringan terhempas dan terjunam dua meter dalam tanah di Kampung Tok Muda, Kapar hari ini. - Foto JPBM Selangor
Sebuah pesawat ringan terhempas dan terjunam dua meter dalam tanah di Kampung Tok Muda, Kapar hari ini. - Foto JPBM Selangor
Berita Harian X