Selasa, 13 Februari 2024 | 6:47pm
Zulkarnain didakwa di Mahkamah Majistret hari ini, atas 51 pertuduhan gagal mematuhi perintah award Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) tuntutan 17 mangsa syarikat umrahnya Emraz Travel & Tours Sdn Bhd. NSTP/NIK ABDULLAH NIK OMAR
Zulkarnain didakwa di Mahkamah Majistret hari ini, atas 51 pertuduhan gagal mematuhi perintah award Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) tuntutan 17 mangsa syarikat umrahnya Emraz Travel & Tours Sdn Bhd. NSTP/NIK ABDULLAH NIK OMAR

Pengarah Emraz Travel tak mengaku salah gagal bayar balik tuntutan lebih RM500,000

KOTA BHARU: Sebuah syarikat pengendali pakej umrah bersama dua pengarahnya didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas 51 pertuduhan gagal mematuhi perintah award Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) membayar balik tuntutan wang berjumlah RM503,221 kepada 17 mangsa.

Syarikat berkenaan, Emraz Travel & Tours Sdn Bhd diwakili dua pengarahnya iaitu Datuk Zulkarnain Endut, 43, dan Datin Mazuin Mustafa, 43, yang juga suami isteri.

Bagaimanapun, pasangan terbabit mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Ahmad Shafiq Aizat Nazri.

Mengikut pertuduhan, Emraz Travel & Tours Sdn Bhd sebagai sebuah syarikat dengan Zulkarnain dan Mazuin, selaku orang kena saman (OKS) berdepan 51 pertuduhan kerana gagal mematuhi award TTPM berkenaan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di pejabat TTPM Kota Bharu di sini antara April hingga September tahun lalu.

Pasangan suami isteri itu didakwa mengikut Seksyen 117(1) Akta Perlindungan Pengguna 1999 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara maksimum dua tahun jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang diketuai Mohd Sophian Zakaria, Suhana Mohd dan Shafiq Mahadi memohon jaminan dikenakan terhadap setiap tertuduh sebanyak RM102,000 dengan seorang penjamin.

Katanya, pasangan suami isteri itu juga perlu melapor diri setiap bulan di KPDN Putrajaya bagi memastikan mereka hadir ke mahkamah.

"Untuk makluman pihak mahkamah, kedua-dua tertuduh sebelum ini sudah didakwa di Mahkamah Putrajaya atas 61 pertuduhan dan hari ini pula 51 pertuduhan membabitkan nilai RM503,221 di Kelantan.

"Kes ini membabitkan 17 mangsa di Kelantan yang mana bakal jemaah umrah ini terpaksa menabung untuk menunaikan ibadah umrah dan membuat pembayaran bermula Februari 2023.

"Mangsa sepatutnya berlepas menunaikan ibadah umrah pada Mac tahun lalu, tetapi sehingga kini tiada usaha dibuat kedua-dua tertuduh untuk menjejaskan bayaran kepada mangsa dan saya berasakan jaminan ditawarkan bersesuaian memandangkan mereka sangat culas," katanya.

Bagaimanapun, peguam mewakili tertuduh, Datuk Hanif Hassan, memohon jaminan dikurangkan memandangkan jumlah ditawarkan sebanyak RM102,000 bagi setiap tertuduh adalah sangat tinggi.

"Untuk makluman, anak guam saya sudah tidak menjalankan operasi perniagaan dan lesen perniagaan juga sudah ditamatkan.

"Mereka susah tidak mempunyai hasil pendapatan untuk meneruskan hidup," katanya.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM10,200 secara global (bagi semua tertuduh) dan perlu hadir untuk melapor diri setiap bulan di pejabat KPDN Putrajaya.

Berita Harian X