Selasa, 13 Februari 2024 | 6:35pm
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak (tengah) di Mahkamah Tinggi KL hari ini bagi menghadiri sambungan bicara kes penyelewangan dana RM2.3 bilion milik 1MDB). - Foto NSTP/Mohamad Shahril Badri
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak (tengah) di Mahkamah Tinggi KL hari ini bagi menghadiri sambungan bicara kes penyelewangan dana RM2.3 bilion milik 1MDB). - Foto NSTP/Mohamad Shahril Badri

Jho Low mahu dilihat sebagai proksi Najib - saksi

KUALA LUMPUR: Bekas peguam 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Jasmine Loo memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini, ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau lebih dikenali dengan Jho Low selalu menggunakan pengaruhnya sebagai orang yang rapat dengan Datuk Seri Najib Razak.

Loo, 51, saksi penting yang dikatakan boleh merungkai persoalan skandal 1MDB itu, berkata kebanyakan tindakan Jho Low mahukan supaya beliau sendiri dan pengurusan kanan 1MDB yang lain melihatnya sebagai proksi Najib selaku Perdana Menteri dan Pengerusi Lembaga Penasihat (CBOA) 1MDB ketika itu.

Saksi pendakwaan ke-50 itu berkata, kebanyakan perkara besar yang memerlukan kelulusan perdana menteri perlu dibincangkan dahulu dengan Jho Low sebelum dibawa kepada Najib.

Katanya, untuk mendapatkan tandatangan semua pihak adalah tanggungjawab setiausaha syarikat dan ketua pegawai eksekutif, tetapi bagi dokumen berkaitan pelaburan 1MDB akan disediakan oleh beliau dan diserahkan kepada Jho Low untuk mendapatkan tandatangan Najib.

"Kadang kala, Jho Low akan meminta saya menyediakan dokumen syarikat yang memerlukan tandatangan Datuk Seri Najib. Selepas saya menyerahkan dokumen berkenaan, saya tidak tahu bagaimana Jho Low mendapatkan tandatangan Datuk Seri Najib.

"Saya juga ingin menyatakan bahawa sepanjang saya berkhidmat di 1MDB, saya cuma berjumpa Datuk Seri Najib dalam acara atau mesyuarat 1MDB secara beramai-ramai bersama pihak pengurusan tetapi saya tidak pernah bersemuka secara bersendirian atau secara terus dengan beliau untuk sebarang urusan berkaitan syarikat," katanya.

Mengimbas pertemuannya dengan ahli perniagaan kontroversi itu, Loo berkata beliau pertama kali berjumpa Jho Low yang ketika itu pengarah UBG Berhad, semasa menghadiri satu temuduga kerja dengan syarikat berkenaan.

Loo yang membacakan pernyataan saksinya, berkata beliau mendapat tahu mengenai peluang pekerjaaan di UBG pada Oktober 2008 untuk menjaga hal ehwal undang-undang syarikat di bawah kumpulan UBG Berhad.

"Selepas itu, saya menghadiri satu temuduga dengan UBG Berhad di mana saya berjumpa untuk pertama kalinya dengan Jho Low selaku pengarahnya.

"Saya berjaya dalam temuduga itu dan menerima satu tawaran dari UBG Berhad sebagai Pengarah Eksekutif Undang-undang dengan pendapatan bulanan lebih kurang RM 45,000.00 sebulan termasuk elaun lain seperti elaun kenderaan, elaun minyak dan elaun perjalanan.

"Saya bekerja di UBG Berhad bermula 1 Januari 2009 sehingga bulan April 2011. Pada awal tahun 2011, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi (Datuk Shahrol) yang saya kenali sebagai bekas rakan kongsi Accenture Consulting dan CEO 1MDB menghubungi saya untuk menawarkan peluang menyertai1MDB tetapi saya tidak memberi jawapan ketika itu.

Loo berkata selepas itu, Shahrol Azral sering menghubunginya dan Jho Low juga ada memberitahunya bahawa Jho Low tidak mempunyai sebarang halangan dan tidak memaksa sekiranya hendak menyertai syarikat pelaburan strategik berkenaan.

Saksi itu berkata, beliau mula bekerja di 1MDB bermula Mei 2011 sehingga November 2013.

Beliau berkata, pertemuan pertamanya dengan Shahrol Azral di UBG Berhad apabila syarikat itu menjalin satu projek dengan Accenture Consulting pada awal tahun 2009, di mana Shahrol Azral adalah rakan kongsi yang mengendalikan projek berkenaan.

Katanya, selepas meninggalkan Accenture Consulting, Shahrol Azral sering hadir ke pejabat UBG Berhad untuk bermesyuarat dengan Jho Low, wakil dari Goldman Sachs dan pasukan yang mengasaskan penubuhan syarikat Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) yang kemudiannya dikenali sebagai1MDB.

"Saya tidak terbabit dalam mesyuarat itu, namun saya tahu kehadiran mereka di pejabat UBG Berhad. Bermula dari situ saya mengenali Shahrol Azral dan beberapa ahli pasukan yang mengasaskan TIA.

"Tugasan awal saya di 1MDB adalah untuk meneliti dokumen usahasama yang dimeterai oleh 1MDB dengan Petrosaudi International Limited (PSI)," katanya.

Berita Harian X