Selasa, 13 Februari 2024 | 5:21pm
(Dari kiri) Prabowo, Ganjar dan Anies berjaya memenuhi kriteria untuk menjadi calon Pilihan Raya Presiden Indonesia. - Gambar fail Ihsan AstroAwani
(Dari kiri) Prabowo, Ganjar dan Anies berjaya memenuhi kriteria untuk menjadi calon Pilihan Raya Presiden Indonesia. - Gambar fail Ihsan AstroAwani

PILPRES paling sengit, tiga calon disukai rakyat

JAKARTA: Tiga calon presiden Indonesia bakal bersaing sengit pada Pilihan Raya Presiden (PILPRES) 2024, apabila semuanya dilihat mempunyai kelebihan dan berkemampuan untuk menjadi pemimpin negara itu.

Prabowo Subianto, Anies Rasyid Baswedan dan Ganjar Pranowo juga menjadi calon sensasi kerana bukan sahaja terkenal dan disukai malah dipercayai rakyat Indonesia.

Ketua Umum Persatuan Wartawan Indonesia, Hendry Ch Bangun berkata ketiga-tiga calon berkenaan terkenal dalam kalangan rakyat Indonesia kerana melakukan pelbagai perubahan yang dirasai warga Indonesia.

"Anies Rasyid adalah bekas Menteri Pendidikan sebelum dilantik menjadi Gabenor Jakarta. Beliau terkenal dengan kepandaiannya sewaktu berada dalam Kabinet Jokowi dengan memulakan gerakan pendidikan untuk rakyat Indonesia. Jadi dia sangat memiliki kemampuan untuk menjadi pemimpin negara.

"Probowo pula Menteri Pertahanan yang mempunyai kecekapan dan pengalaman sebagai seorang pemimpin malah dia juga seorang ahli perniagaan berjaya. Ramai yang mengatakan beliau yang berusia lebih 70 tahun ini sudah berusia tetapi sebenarnya inilah kelebihan yang dimiliki beliau untuk menjadi kepala negara.

"Ganjar pula ialah Ahli Parlimen selama lebih dua penggal dan sangat kompeten. Beliau juga adalah yang paling dekat dan dikenali rakyat apabila menjadi Gabenor Jawa Tengah," katanya ketika ditemui BH, hari ini.

Mengulas lanjut, Hendry berkata, Probowo ketika ini paling di depan berbanding calon lain disebabkan mempunyai kelebihan yang tiada pada Anies Rashid dan Ganjar.

"Probowo mempunyai gambaran kekuatan di parlimen dan Presiden Joko Widodo juga turun bersama-sama untuk menunjukkan sokongan dan berkempen," katanya.

Ditanya mengenai skandal yang menyelubungi Probowo dan gandingannya, Gibran Rakabuming Raka yang juga anak sulung Jokowi, beliau menjelaskan ia hanya memberi kesan kepada golongan pertengahan dan rakyat yang lebih terpelajar sahaja.

"Di bawah-bawah itu (rakyat) adalah pengaruh Jokowi jadi orang, warga maya boleh berbicara apa sahaja termasuk dokumentari 'Dirty Vote' namun penilaian di bawah tidak seperti itu," katanya.

Tambah beliau, calon Presiden akan mendapat mandat rakyat sekiranya menang di wilayah Jawa.

"Sekitar 70 peratus rakyat Indonesia berada di wilayah ini atau 130 juta orang. Maka sekiranya calon menang di kawasan itu dia akan dinobatkan sebagai Presiden Indonesia," katanya.

Ramai rakyat Indonesia belum putus siapa Presiden baharu

Sementara itu, dalam tempoh kurang 24 jam sebelum Pilihan Raya Presiden (PILPRES) 2024, rakyat Indonesia dilihat masih lagi ragu-ragu untuk memilih siapa daripada tiga calon yang akan menjadi ketua negara Indonesia yang baharu.

Kebanyakan mereka yang ditemui BH didapati masih belum membuat pilihan untuk 'coblos' (undi) sama ada Prabowo Subianto, Anies Rasyid Baswedan atau Ganjar Pranowo.

Bagi penghantar barang, Muhammad Akhbar Said, 38, dia ketika ini masih belum memikirkan sama ada mahu mengundi Anies Rasyid atau Prabowo kerana masing-masing mempunyai kelebihan.

"Dua pemimpin ini begitu dekat dengan masyarakat jadi agak sukar untuk saya memilih antara mereka itu. Saya fikir situasi ini juga sama dalam kalangan penduduk Jakarta.

"Anies itu dikenali sebagai pemimpin yang baik manakala Probowo juga ada sikap yang sama yang kedua-duanya dihormati rakyat," katanya.

Penjaga makanan, Arif Jihad Sidek, 25, pula berpandangan undinya boleh berubah pada saat akhir bergantung kepada pemikirannya.

"Hari ini pastinya saya sudah ada calon yang akan diundi tetapi esok mungkin juga saya undi yang lain kerana semua bagus sahaja.

"Apa yang penting calon yang akan diundi ini bertanggungjawab dan berketerampilan sebagai pemimpin menggantikan Pak Jokowi," katanya.

Adi Sufi, 28, pula berkata dia dalam dilema untuk mengundi Probowo kerana tidak merasakan gandingannya, Gibran Rakabuming Raka belum layak.

"Saya tidak katakan Gibran itu tidak bagus tetapi dia masih muda, masih perlukan banyak pengalaman berkhidmat untuk rakyat. Posisinya berganding dengan Pak Probowo dilihat terlalu besar untuk diundi," katanya.

Eksekutif swasta dikenali sebagai Susan juga mengakui, dia hanya akan memilih calon semasa hadir membuang undi sahaja.

"Setakat hari ini masih belum mendapat ilham calon pilihan lagi. Mungkin ketika buang undi nanti saya akan pilih siapa. Semuanya bagus jadi saya tak usah berfikir keras," katanya.

Berita Harian X