Selasa, 13 Februari 2024 | 5:02pm
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (dua, kiri) menyampaikan ucapan pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri bersama warga kerja Jabatan Perdana Menteri (JPM) Bagi Bulan Februari 2024 di Dewan Sri Endon Puspanitapuri pada 5 Februari lalu.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (dua, kiri) menyampaikan ucapan pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri bersama warga kerja Jabatan Perdana Menteri (JPM) Bagi Bulan Februari 2024 di Dewan Sri Endon Puspanitapuri pada 5 Februari lalu.

Pentadbiran Anwar berani kerana laksana kajian SSPA - KSN

PUTRAJAYA: Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali menyifatkan pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai kerajaan yang berani kerana berupaya melaksanakan kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).

Katanya, isu penyelarasan gaji penjawat awam bukan perkara baharu dan sudah lama dibincangkan selain tiada kenaikan sejak hampir 12 tahun lalu.

"Pagi tadi saya bersama, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP) berbincang dengan Perdana Menteri mengenai apa yang kita akan bawa kepada Jemaah Menteri.

"Ini menunjukkan kerajaan sentiasa prihatin, beri keutamaan kepada kebajikan penjawat awam dan sebenarnya ini bukan perkara baharu, lama dah kita bincang, sebab itu saya lihat kerajaan yang ada hari ini paling berani melaksanakan perkara ini," katanya pada majlis amanat 2024, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz; Peguam Negara, Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Kelmarin, Perdana Menteri dilaporkan berkata, kerajaan akan mengumumkan kajian SSPA selewat-lewatnya pada suku keempat tahun ini.

Anwar berkata, sudah tiba masanya untuk kerajaan melaksanakan sistem saraan awal itu selepas 12 tahun tertangguh.

Dalam pada itu Mohd Zuki berkata, kenyataan berkaitan kajian SSPA akan dikeluarkan oleh KPPA dalam tempoh terdekat.

"Insya-Allah KPPA akan umumkan dapatan awal daripada kajian ini dan insya-Allah jika diizinkan ia tertakluk kepada KSP (Ketua Setiausaha Perbendaharaan), bila kerajaan akan laksanakan apa tuntutan yang dimohon kita selaku penjawat awam," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sekiranya kajian terbabit selesai dan dimuktamadkan kerajaan, penjawat awam perlu membalas budi dengan memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Ia juga sejajar dengan hasrat Perdana Menteri yang mahukan reformasi dalam kalangan penjawat awam untuk ketika perkhidmatan.

"Perdana Menteri tanya KPPA, ada tak kemungkinan penjawat awam yang tak 'perform', kita tamatkan perkhidmatan, sampai tahap macam itu Perdana Menteri tanya.

"Jika sektor swasta buat macam itu, tiga hari tak datang kerja, dah boleh 'terminate', tapi kalau kita tiga bulan tak datang kerja pun, beberapa kali mesyuarat diperlukan untuk selesaikan hal ini.

"Jadi inilah perkara yang Perdana Menteri mahu kita lihat iaitu transformasi dalam perkhidmatan awam," katanya.

Berita Harian X