Selasa, 13 Februari 2024 | 4:55pm
 Peniaga gerai di Puncak Jalil nekad berniaga di lokasi asal yang dikunjungi pelanggan sejak Disember lalu. NSTP/ AIMAN FARHAN
Peniaga gerai di Puncak Jalil nekad berniaga di lokasi asal yang dikunjungi pelanggan sejak Disember lalu. NSTP/ AIMAN FARHAN

Kami rela disaman setiap hari asalkan berniaga di tempat ada pelanggan...

SERI KEMBANGAN: Sekumpulan 65 peniaga gerai di Puncak Jalil di sini sanggup membayar kompaun dua kali sebulan kepada penguat kuasa Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ).

Ia susulan tindakan mereka kembali berniaga di lokasi asal berbanding lokasi ditetapkan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu yang tersorok di belakang deretan kedai sehingga menjejaskan pendapatan harian.

Peniaga mendakwa tindakan MBSJ memindahkan mereka ke lokasi jauh di belakang premis perniagaan di Puncak Jalil sejak Jun tahun lalu bukan saja menyebabkan pendapatan harian jatuh merudum, malah turut berdepan risiko keselamatan dan kesihatan.

Ini kerana, kata mereka, lokasi terletak bersebelahan kawasan semak, penuh anjing liar dan tempat longgokan sampah yang busuk serta laluan sempit.

Pengerusi Persatuan Peniaga Puncak Jalil, Muhammad Amir Ali, berkata beberapa siri mesyuarat antara peniaga terbabit bersama MBSJ diadakan dengan perjumpaan terakhir dibuat pada Disember lalu.

Bagaimanapun, katanya, kebenaran untuk mereka berniaga di lokasi asal iaitu di Jalan PUJ 3/9 dan Jalan PUJ 3/13 masih belum ada keputusan dengan alasan ia akan menimbulkan masalah parkir.

Susulan itu, beliau berkata, MBSJ bertegas meminta peniaga gerai beroperasi di lokasi pemindahan di Jalan PUJ 3/3 dan Jalan PUJ 3/7 serta kegagalan mematuhinya akan dikenakan tindakan saman.

 Pengerusi Persatuan Peniaga Puncak Jalil, Muhammad Amir Ali
Pengerusi Persatuan Peniaga Puncak Jalil, Muhammad Amir Ali

"Sejak dipindahkan ke lokasi yang agak tersorok itu sejak Jun tahun lalu, kami mengalami kerugian teruk kerana lokasi itu tidak dikunjungi pelanggan. Ada peniaga yang tidak mampu langsung membayar kereta dan rumah kerana tiada jualan.

"Susulan itu, pada Disember lalu, kami nekad mengambil keputusan untuk berniaga semula di kawasan asal ini demi kelangsungan hidup yang semakin terhimpit walaupun dikenakan saman oleh MSBJ pada setiap bulan," katanya ketika ditemui BH.

Muhammad Amir berkata, tindakan dilakukan peniaga itu bukan untuk melawan MBSJ, sebaliknya bagi mencari rezeki untuk menampung perbelanjaan keluarga yang semakin sukar terutama selepas pandemik COVID-19.

Beliau berkata, sepanjang enam bulan berniaga di lokasi yang dipindahkan MBSJ itu, peniaga merungut kerana pelbagai masalah dihadapi dan perbincangan diadakan dengan pihak terbabit tetapi tiada penyelesaian mengenainya sehingga kini.

"Berapa lama kami boleh bertahan berniaga di tempat yang tiada pelanggan sedangkan hujung bulan kita perlu membayar sewa rumah, tanggungan keluarga, bil api dan air.

"Kami sangat berharap MBSJ meneliti masalah ini kerana semua peniaga memiliki lesen. Saya sendiri berniaga di sini sejak 2019 tetapi sedih jika terus dipaksa berniaga di lokasi itu kerana tiada sambutan.

"Sebagai contoh, dalam tempoh sehari berniaga di lokasi asal ini, saya boleh menjual enam kilogram kuih cakoi berharga RM200, tetapi di tapak niaga di belakang kedai itu, saya hanya mampu memperoleh kira-kira RM60 dan lebihan tepung terpaksa dibuang kerana tak boleh disimpan lama," katanya.

Muhammad Amir berkata, Datuk Bandar Subang Jaya membenarkan mereka berniaga di lokasi asal di Jalan PUJ 3/13 sementara perbincangan diadakan dengan ahli majlis untuk menentukan sama ada peniaga layak atau tidak diberi lesen berniaga di situ.

Katanya, sementara menunggu keputusan itu, peniaga diberi kompaun beberapa kali dan mereka terpaksa menganggap kompaun dikenakan itu sebagai bayaran duit sewa tapak.

"Kami dikompaun saman RM80 tetapi sanggup membayarnya kerana lokasi ini ramai pelanggan," katanya.

Lokasi perniagaan di tapak bersemak, tersorok dan berbau busuk yang kurang dikunjungi, menyebabkan pendapatan peniaga merosot. NSTP/ AIMAN FARHAN
Lokasi perniagaan di tapak bersemak, tersorok dan berbau busuk yang kurang dikunjungi, menyebabkan pendapatan peniaga merosot. NSTP/ AIMAN FARHAN

Sementara itu, peniaga takoyaki, Che Sakri Che Dir berkata, ketika berniaga di Jalan PUJ 3/3 dan Jalan PUJ 3/7, jualannya jatuh mendadak sehingga sukar mendapat hasil RM100 sehari.

"Tambahan pula persekitaran di sana sangat teruk kerana banyak nyamuk dan bau sampah yang agak busuk, jika hujan air naik sehingga banjir.

"Kemudahan tandas juga tiada berbanding di lokasi ini kerana kami boleh menggunakan tandas di kedai dan surau berdekatan," katanya.

Beliau berkata, pegawai MBSJ akan datang ke tapak peniaga di Jalan PUJ 3/13 sebanyak dua kali sebulan dan dikenakan kompaun RM50 dengan jumlahnya meningkat menjadi RM1,000 jika melebihi tempoh ditetapkan.

"Majoriti peniaga gerai ini adalah Melayu dan ini sumber rezeki kami. Tindakan saman dan kompaun itu seolah-olah menakutkan kami kerana ada kedai makan milik warga asing yang meletakkan kerusi meja di kawasan parkir tidak diganggu," katanya.

Peniaga air kelapa, Muhammad Sayuti Muti pula berkata, beliau menjual kurang 20 biji kelapa sehari ketika berniaga di tapak diberikan MBSJ itu berbanding lokasi asal ini yang terjual lebih 80 biji kelapa sehari.

"Setakat ini saya sudah dua kali dikompaun, bagi saya lebih baik disaman daripada berniaga di lokasi pemindahan MSBJ yang tidak dikunjungi pelanggan itu," katanya.

Sementara itu, usaha BH untuk mendapatkan maklum balas daripada Datuk Bandar MBSJ, Datuk Mohd Fauzi Mohd Yatim, masih tiada jawapan, manakala pegawai Unit Komunikasi MBSJ pula memaklumkan mereka perlu menyemak perkara itu yang akan mengambil sedikit masa.

Berita Harian X