Selasa, 13 Februari 2024 | 3:56pm
Probowo dilihat mempunyai lebih ‘taring’ untuk dipilih menjadi Presiden Indonesia pada Pilihan Raya Presiden (PILPRES) 2024 esok. Gambar fail
Probowo dilihat mempunyai lebih ‘taring’ untuk dipilih menjadi Presiden Indonesia pada Pilihan Raya Presiden (PILPRES) 2024 esok. Gambar fail

Rakyat bimbang demokrasi, kebebasan bersuara Indonesia tergugat jika Probowo menang

JAKARTA: Jalur demokrasi dan kebebasan bersuara Indonesia dibimbangi bakal tergugat jika calon paling ke depan, Prabowo Subianto dipilih rakyat republik itu sebagai presiden pada Pilihan Raya Presiden (PILPRES) 2024 esok.

Meskipun Probowo dilihat mempunyai kelebihan berbanding dua lagi calon Presiden, Anies Rasyid Baswedan dan Ganjar Pranowo, namun Menteri Pertahanan berusia 72 tahun itu turut berdepan kritikan hebat oleh kelompok kumpulan pertengahan serta warga maya.

Kehadiran dokumentari 'Dirty Vote' pada saat-saat akhir menjelang PILPRES dengan cubaan memusnahkan impian Probowo-Gibran Rakabuming Raka juga dijangka tidak akan memberi kesan kepada Probowo.

Mengulas perkara itu, Ketua Editor The Jakarta Post, M Taufiqurrahman, berkata Pemilihan Umum Indonesia (PEMILU) kali ini dilihat begitu berbeza dengan pilihan raya umum lalu, sekali gus menimbulkan keresahan bukan saja kepada rakyat, malah penggiat media di negara itu.

Beliau berkata, pertaruhan PEMILU 2024 kali ini adalah sangat besar memandangkan semua tiga calon bertanding mempunyai kekuatan sendiri dan begitu popular dalam kalangan rakyat.

Bagaimanapun, katanya, Probowo dilihat mempunyai lebih 'taring' pada masa ini disebabkan pengaruh Presiden Joko Widodo yang dilihat bukan saja memberi sokongan moral, malah kelebihan sumber kerajaan.

"Pada pemilihan kali ini kita melihat banyak keanehan yang berlaku, disusuli kemunculan dokumentari Dirty Vote yang tidak mengejutkan kami sebagai warga media Indonesia kerana sepanjang kempen PEMILU 2024 ini, kita sudah melihat banyak perkara yang tidak seharusnya berlaku.

"Ia juga bukan soal siapa menang siapa kalah, tetapi penentuan nasib kita sebagai rakyat Indonesia secara keseluruhan. Di luar sana, jutaan rakyat Indonesia mula menyuarakan kebimbangan mengenai demokrasi yang akan terjejas, monopoli kekayaan dan kebebasan media.

"Inilah yang dirungsingkan rakyat hari ini, adakah perjalanan demokrasi berjalan dengan kualiti yang diinginkan semua rakyat," katanya, di sini, semalam.

Taufiq berkata, PEMILU 2024 diselubungi isu bantuan kewangan yang tidak pernah berlaku sebelum ini apabila kerajaan Jokowi mengumumkan sejumlah 14 bantuan sosial membabitkan peruntukan sekitar 5 trilion rupiah untuk rakyat.

"Bantuan membabitkan peruntukan sedemikian tidak pernah terjadi dalam sejarah, membabitkan bantuan kewangan dan bantuan beras kepada golongan rakyat miskin. Selain itu lebih banyak lagi bantuan percuma diberikan kerajaan.

"Rakyat melihat ini sebagai penggunaan sumber negara untuk mendukung calon dan calon yang disokong (oleh Jokowi) ketika ini ialah Probowo," katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai penguatkuasaan undang-undang pilihan raya, Taufiq berkata, Indonesia sebenarnya tidak kurang undang-undang yang menghalang tindakan boleh menguntungkan calon pilihan raya atau menggunakan sumber kerajaan, sama seperti di Malaysia, tetapi ia seolah-olah tidak dikuat kuasa pada pilihan raya kali ini.

"Minggu lalu berlaku acara penyerahan pesawat Hercules yang dihadiri Jokowi dan Probowo, paling mengecutkan adalah kenyataan Presiden yang secara telus mengatakan beliau berhak menyokong seseorang calon.

"Banyak peruntukan yang boleh digunakan tetapi kita juga harus sedar ada undang-undang yang diubah untuk membolehkan seseorang bertanding," katanya.

Mengulas dokumentari 'Dirty Vote,' Taufiq berkata, tiada yang baharu dalam dokumentari itu tetapi lebih mengejutkan, ia kini seolah-olah gagal diakses semua rakyat Indonesia.

"Dalam dokumentari ini tiada yang baharu kerana ia seperti menyimpulkan saja apa yang kami pihak media laporkan pada setiap hari. Ia seperti hanya susun-susun dan simpul untuk tontonan umum.

"Tetapi dokumentari ini seperti tiada dalam YouTube dan sukar ditemui warga maya, ia seperti 'dishadowkan'.

"Sebenarnya perkara seperti ini sudah banyak terjadi dan rakyat mempersoalkan perkara ini seperti ada usaha untuk mendiamkan kritikan," katanya.

Berita Harian X