Selasa, 13 Februari 2024 | 1:50pm
Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.
Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.

Raja Mohamed Affandi letak jawatan secara sukarela, tiada isu

KUALA LUMPUR: Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengesahkan peletakan jawatan Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor sebagai Pengerusi Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) adalah secara sukarela.

Beliau juga menegaskan tiada sebarang isu berhubung peletakan jawatan bekas Panglima Angkatan Tentera itu dalam LTAT.

"Dia (Raja Mohamed Affandi) letak jawatan sebenarnya. Tiada isu sebenarnya. (Letak jawatan) secara sukarela," katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Kick-Off Pelancaran Kajian Separuh Penggal Kertas Putih Pertahanan hari ini.

Turut hadir, Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman serta Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari.

Khaled Nordin
Khaled Nordin

Raja Mohamed Affandi beberapa hari lalu menjelaskan beliau tidak bersara daripada menjadi Pengerusi LTAT, sebaliknya meletakkan jawatan.

Mengikut kontrak, tempoh perkhidmatannya sebagai Pengerusi LTAT akan tamat pada Ogos tahun ini.

Dalam kenyataan media bertarikh 8 Februari 2024, LTAT mengumumkan persaraan Raja Mohamed Affandi daripada jawatan Pengerusi, berkuat kuasa hari itu.

LTAT dalam kenyataan sebelum ini berkata, tempoh perkhidmatan Raja Mohamed Affandi yang bermula pada 2021, ditandai oleh komitmen tidak berbelah bahagi dalam mengukuhkan tadbir urus korporat dana persaraan angkatan tentera itu.

Agensi itu berkata, kepimpinan beliau adalah penting dalam melakar pencapaian bermakna terutama mendapatkan kelulusan bagi pindaan kepada Akta Tabung Angkatan Tentera 1973 (Akta 101), yang disasarkan untuk memperkasakan rangka kerja tadbir urus korporat LTAT.

Katanya, di bawah kepimpinan Raja Mohamed Affandi, LTAT memulakan Garis Panduan & Dasar Risiko Pelaburan, kayu ukur penting yang menjamin perlindungan pelaburan LTAT sambil mengoptimumkan profil pulangan-risiko.

Pengumuman yang dibuat LTAT itu dibuat hanya kira-kira seminggu selepas Lembaga Pengarah LTAT mengumumkan pengunduran Ketua Eksekutif, Datuk Ahmad Nazim Abd Rahman berkuat kuasa 31 Januari lalu.

Pada 5 Februari lalu, LTAT mengeluarkan kenyataan yang menegaskan ia kekal komited dalam memastikan kemampanan dana jangka panjang selain terus meneroka semua pilihan pelaburan bersama pihak berkepentingan yang berkaitan termasuk badan kawal selia dan Kementerian Pertahanan, seperti yang dimandatkan oleh Akta 101.

Berita Harian X